Isnin, 29 Ogos 2022 | 7:14am
Penyerang Tottenham, Harry Kane meraikan jaringan keduanya ketika menentang Nottingham Forest di Stadium City Ground dekat Nottingham, England. - AP
Penyerang Tottenham, Harry Kane meraikan jaringan keduanya ketika menentang Nottingham Forest di Stadium City Ground dekat Nottingham, England. - AP

Kane legakan Spurs, Gerrard makin tertekan

LONDON: Dua gol Harry Kane memberikan kemenangan 2-0 di Nottingham Forest seterusnya mengangkat Tottenham ke kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) manakala bos Aston Villa, Steven Gerrard berdepan tekanan selepas kalah 1-0 di tangan West Ham awal pagi tadi.

Skuad kendalian Antonio Conte bermula dengan baik dalam kempen kali ini dengan Kane memastikan mereka mengekalkan rentak berkenaan di City Ground.

Kapten England itu meletakkan Tottenham di depan menerusi penyudah baik apabila memungut umpanan Dejan Kulusevski dari luar kotak penalti Forest pada minit kelima.

Ia adalah gol liga ke-200 Kane membabitkan karier di Tottenham serta ketika dipinjamkan ke Millwall, Leicester dan Leyton Orient.

Kane mensia-siakan peluang untuk menambah kelebihan Tottenham pada babak kedua apabila bola terkena tangan Steve Cook dalam kotak penalti.

Dean Henderson menyelamatkan penalti Kane dan dia terlepas peluang pertama kali sejak 2018.

Penjaga gol Nottingham Forest, Dean Henderson mengangkat tangan meraikan kejayaan berjaya menyelamatkan gawangnya dari dibolosi melalui sepakan penalti, Harry Kane. - Foto Reuters
Penjaga gol Nottingham Forest, Dean Henderson mengangkat tangan meraikan kejayaan berjaya menyelamatkan gawangnya dari dibolosi melalui sepakan penalti, Harry Kane. - Foto Reuters

Kane membalasnya dengan gol keempat musim ini pada minit ke-81.

Menerusi tiga kemenangan dalam empat aksi, Tottenham sama mata dengan pasukan tangga kedua, Manchester City dan dua mata di belakang pendahulu, Arsenal ketika dua kelab seteru utara London itu mula mengorak langkah.

"Perlawanan ini sangat sukar. Bukan mudah ukar bermain di stadium ini. Gelanggang ini sangat bising," kata Conte.

"Forest banyak menang pertembungan antara kami tetapi pada babak kedua saya rasa kami lebih banyak mengawal perlawanan.

"Pemain banyak meningkat dan belajar untuk menderita bersama dan menjadi lebih kompak."

Sementara itu West Ham tiba di Villa Park selepas berada di dasar liga dengan tewas tiga perlawanan pertama tanpa sebarang jaringan.

Jaringan Pablo Fornals pada babak kedua menamatkan penantian West Ham dan membawa mereka keluar dari zon penyingkiran. - AFP

Pemain West Ham United, Pablo Fornals meraikan jaringan golnya ketika menentang Aston Villa. - Foto Reuters
Pemain West Ham United, Pablo Fornals meraikan jaringan golnya ketika menentang Aston Villa. - Foto Reuters

Berita Harian X