Rabu, 10 Ogos 2022 | 2:54pm
Pemain Kedah berangkat pulang ke tanah air selepas tewas di separuh akhir Piala AFC di Bali, Indonesia malam tadi.
Pemain Kedah berangkat pulang ke tanah air selepas tewas di separuh akhir Piala AFC di Bali, Indonesia malam tadi.

'Pencapaian ke separuh akhir cukup membanggakan'

KUALA LUMPUR: Kejayaan Kedah Darul Aman (KDA FC) mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 dianggap sebagai satu pencapaian yang cukup membanggakan buat pengendalinya, Aidil Sharin Sahak.

Selepas 'perjalanan' mereka disekat PSM Makassar malam tadi, bekas pengendali Home United itu menegaskan apa yang diharungi anak buahnya pada kempen Asia musim ini seharusnya diambil secara positif untuk mengharungi baki aksi domestik musim ini.

"Pada mulanya, tiada yang meletakkan harapan kepada kita untuk mara sehingga ke separuh akhir tetapi pemain saya membuktikan bahawa kita mampu. Tiada apa lagi yang boleh saya minta daripada mereka.

"Jadi harapnya kita ada rezeki (ke Piala AFC) musim seterusnya dan kita akan jadi lebih baik," katanya.

Terdahulu, perjuangan skuad Kenari di pentas Piala AFC terhenti di separuh akhir Zon ASEAN apabila tewas 2-1 di tangan PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia.

Tuan rumah mendahului menerusi jaringan Yakob Sayuri (m31) dan Yuran Fernandes (m54) sebelum Fayadh Zulkifli mengurangkan defisit pada minit ke-86 ke atas lawan yang menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.

Mengulas mengenai aksi anak buahnya, Aidil mengakui babak pertama tidak begitu menjadi namun dia percaya anak buahnya sudah memberikan yang terbaik pada aksi penentuan itu

"Banyak yang perlu kita belajar apatah lagi sudah lama pasukan ini tidak beraksi di Piala AFC. Komunikasi kita tidak begitu baik pada separuh masa dan mereka menjaringkan gol pertama yang mudah.

"Kita cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi lebih sukar menentang lawan yang kehilangan seorang pemain kerana mereka akan lebih banyak bertahan.

"Tetapi saya tahu pemain berjuang sehingga wisel penamat dan saya hargai kerja keras mereka," katanya.

Berita Harian X