Selasa, 9 Ogos 2022 | 9:23pm
Skuad Kedah terkandas di separuh akhir Piala AFC.
Skuad Kedah terkandas di separuh akhir Piala AFC.

Kedah terkandas di separuh akhir

KUALA LUMPUR: Perjuangan Kedah Darul Aman FC (KDA) di pentas Piala AFC terhenti di separuh akhir Zon ASEAN apabila tewas 2-1 di tangan PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, Indonesia, sebentar tadi.

Makassar berada di depan pada minit ke-31 apabila Yakob Sayuri berjaya menampan masuk bola hantaran Muhammad Rizky Pratama.

Yuran Fernandes mengukuhkan kedudukan buat Makassar apabila dia menanduk masuk bola sepakan penjuru Muhammad Arfan pada minit ke-54.

Lapan minit kemudian, malang menimpa Fernandes apabila dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua yang menyaksikan Makassar terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

Peluang itu cuba digunakan sepenuhnya oleh anak buah Aidil Sharin Sahak untuk bangkit dan Al Hafiz Harun hampir memecah kebuntuan jaringan Sang Kenari, namun rembatan derasnya pada minit ke-81 sekadar menggegar tiang gol.

KDA akhirnya berjaya mendapatkan jaringan pertama pada minit ke-86 menerusi percubaan Fayadh Zulkifli, namun ia sudah terlambat buat Sang Kenari walaupun seorang lagi pemain Makassar, Agung Mannan turut dilayangkan kad merah pada penghujung masa kecederaan.

Harapan Malaysia kini diletakkan ke atas bahu satu lagi wakil negara, Kuala Lumpur (KL) City yang akan menentang kelab Vietnam, Vietttel FC di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, esok.

Berita Harian X