KUALA LUMPUR: Jaringan penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA), Ronald Ngah dinobatkan sebagai pemenang gol terbaik bagi peringkat kumpulan Piala AFC 2022.
Pemain berusia 30 tahun itu meledak jaringan 'bertuah' pada minit ke-76 ketika melengkapkan kemenangan besar 5-1 KDA ke atas Visakha FC dalam aksi terakhir Kumpulan G, 30 Jun lalu.
Menerusi kenyataan daripada laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jaringan Ngah mendapat undian tertinggi iaitu 57 peratus daripada keseluruhan undian.
Ngah mengatasi pemain kelab Bashundhara Kings, Robinho yang mendapat undian kedua tertinggi iaitu sebanyak 38 peratus dari undian keseluruhan.
Mengimbas kembali detik jaringan itu, Ngah yang gagal menyudahkan sepakan penalti pada awal permainan membuat larian solo dari kawasan tengah dan melepasi beberapa pertahan lawan sebelum tenang merembat bola ke dalam gawang.
Lebih manis, kemenangan besar KDA ke atas kelab Kemboja itu juga membolehkan skuad Sang Kenari muncul juara kumpulan dan mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC musim ini.
Pengiktirafan buat Ngah itu pasti menaikkan lagi moral Sang Kenari yang akan berdepan kelab Indonesia, PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali, hari ini.