TOTTENHAM Hotspur mungkin menjadi pendahulu minggu pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2022-23 apabila mencatat kemenangan terbesar, namun paling mencuri tumpuan adalah kekalahan mengejut bekas juara Manchester United kepada Brighton di laman sendiri.
Juara bertahan Manchester City, Chelsea, Spurs, Arsenal, Leeds, Newcastle, Brighton dan Bournemouth semuanya bermula langkah kanan ketika pencabar utama Liverpool dan bekas juara Leicester diikat lawan masing-masing dan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
United, yang mendapat khidmat pakar taktikal dari Belanda, Erik ten Hag dilihat gagal bermain seperti dikehendaki pengendalinya apabila dua gol Pascal Gross pada babak pertama membuatkan mereka berputih mata di Old Trafford.
Sekalipun penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo dimasukkan pada babak kedua, ia jelas gagal menyembunyikan masalah dalaman yang dihadapi The Red Devils yang terbawa-bawa hingga ke dalam padang.
Ronaldo, yang mahu berpindah kerana ingin beraksi dalam Liga Juara-Juara, belum memuktamadkan masa depannya di Old Trafford ketika penampilan keduanya bersama kelab itu kurang meyakinkan musim lalu apabila mereka menghuni tangga keenam liga.
City, yang tewas aksi Perisai Komuniti di tangan Liverpool minggu sebelumnya, kini boleh menarik nafas lega pada awal musim apabila penyerang baharunya Erling Haaland yang dibawa masuk dari Borussia Dortmund pada musim panas ini, kembali menemui sentuhan gol.
Dikecam teruk kerana gagal menyumbat gol sekalipun pintu gol sudah luas ternganga ketika menentang Liverpool, Haaland menempelak kritikan itu dengan dua gol, satu menerusi penalti yang dimenanginya sendiri ketika membenam West Ham di London malam tadi.
Ketika Pep Guardiola boleh berasa lega seketika, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp pasti berasa kesal dengan keputusannya meletakkan penyerang baharu Darwin Nunez di bangku simpanan sebaliknya mempercayai kebolehan penyerang Brazil, Roberto Firmino dalam kesebelasan utama ketika seri 2-2 dengan Fulham di gelanggang lawan.
Kehadiran Nunez yang menggantikan Firmino pada babak kedua nyata mengubah arus perlawanan, malah dia menyamakan kedudukan sebelum terbabit dalam gol penyamaan kedua menerusi Mohamed Salah 10 minit sebelum tamat sekali gus mengelak The Reds daripada kekalahan mengaibkan.
Tottenham bermula garang apabila membenam Southampton 4-1 di laman sendiri pada musim kedua di bawah kendalian Antonio Conte, manakala bekas kelab Conte, Chelsea memerlukan gol tunggal penalti jaringan Jorginho untuk mengatasi Everton 1-0.
Arsenal, yang terlepas peluang ke Liga Juara-Juara apabila menghuni tangga kelima musim lalu, membuka tirai kempen penuh bergaya dengan penyerang dari Brazil, Gabriel Martinelli menjaringkan gol EPL musim ini ketika menang 2-0 ke atas Crystal Palace.
Newcastle mudah mengalahkan pendatang baharu Nottingham Forest, yang kembali beraksi dalam EPL selepas 23 tahun, 2-0 manakala satu lagi kelab yang naik semula ke divisyen utama Bournemouth memulakan hasrat mereka untuk kekal di atas dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa.
Sebanyak 28 gol dijaringkan dalam 10 perlawanan pada minggu pertama liga dengan Mitrovic dan Gross muncul pendahulu penjaring terbanyak selepas menyumbat dua gol selain tiga gol menerusi penalti dan tiga gol sendiri dicatatkan.