Ahad, 7 Ogos 2022 | 9:51pm
Vietnam menang 2-1 mengatasi Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien. Foto ihsan aseanfootball
Vietnam menang 2-1 mengatasi Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien. Foto ihsan aseanfootball

Vietnam balas dendam

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 (B-19) tahun Vietnam membalas dendam terhadap Malaysia selepas melakar kemenangan 2-1 dalam aksi Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien, sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Binh Duong itu, Vietnam turun dengan misi untuk menebus kekecewaan selepas tumpas 3-0 di tangan anak buah Hassan Sazali Waras pada separuh akhir Kejuaraan B-19 AFF, 13 Julai lalu.

Namun, skuad Harimau Malaya B-19 yang dibarisi sebahagian besar pemain baharu berbanding ketika Kejuaraan B-19 AFF terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila berada di depan seawal minit kelima menerusi jaringan menarik Nazrin Nasir.

Tersentak dengan jaringan itu, Vietnam menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-28 menerusi penyudah Nguyen Duc Anh.

Ketika perlawanan seakan bakal berakhir dengan keputusan seri, malang menimpa skuad negara apabila Vietnam mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan dan peluang itu disempurnakan Khuat Van Khang.

Anak buah Hassan Sazali yang terikat tanpa jaringan dengan Thailand pada aksi pertama, Jumaat lalu akan berdepan Myanmar di gelanggang sama Selasa ini.

Vietnam yang merekodkan dua kemenangan berada di kedudukan teratas dengan mengumpul enam mata, dua mata di depan Thailand di tangga kedua.

Malaysia pula menghuni tangga ketiga dengan satu mata, sementara Myanmar yang tewas dua kali di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Menggunakan format liga sepusingan, dua pasukan teratas akan bertemu di final, manakala dua pasukan berikutnya bakal beraksi untuk penentuan tempat ketiga dan keempat pada 11 Ogos ini.

Berita Harian X