MUNICH: Bekas bintang Liverpool Sadio Mane memulakan kempen Bundesliga sulungnya dengan menjaringkan gol untuk Bayern Munich.
Mane, 30, menyertai Bayern pada musim panas ini selepas kontrak enam tahunnya bersama The Reds berakhir.
Pemain Senegal itu menanduk masuk bola ke gawang Eintracht Frankfurt untuk gol ketiga Bayern dalam kemenangan 6-1 di Deutsche Bank Park, hasil umpanan bekas pemain Arsenal Serge Gnabry.
Bayern menguasai hampir keseluruhan permainan dan membuka jaringan pada minit kelima menerusi Joshua Kimmich sebelum Benjamin Pavard meledak gol kedua lima minit kemudian.
Selepas gol minit ke-29 Mane, Jamal Musiala dan Gnabry menambah jaringan pada minit ke-35 dan 43 untuk meletakkan skuad kendalian Julian Nagelsmaan lima gol di depan sebelum rehat.
Eintracht meledak gol tunggal mereka pada minit ke-64 menerusi Randal Kolo Muani tetapi Musiala melengkapkan kemenangan tujuh minit sebelum tamat permainan.
Persembahan meyakinkan Bayern itu menyaksikan mereka langsung tidak terjejas dengan ketiadaan peledak Poland Robert Lewandowski yang menyertai Barcelona.
Lewandowski meledak 344 gol dalam 375 penampilan sepanjang lapan tahun bersama kelab gergasi Jerman itu.
Mane dilihat sebagai pengganti tepat untuk Lewandowski selepas menjaringkan 120 gol dan 48 umpanan gol dalam 269 penampilan untuk Liverpool. - AGENSI