Jumaat, 5 Ogos 2022 | 7:26pm
Syahmi beraksi cemerlang apabila banyak menyelamatkan percubaan Thailand.
Syahmi beraksi cemerlang apabila banyak menyelamatkan percubaan Thailand.

Malaysia, Thailand buntu cipta gol

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara terikat 0-0 dengan Thailand pada aksi pertama Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien di Stadium Binh Duong, Vietnam, sebentar tadi.

Thailand dilihat lebih banyak melakukan percubaan berbahaya, namun Malaysia bernasib baik apabila penjaga gol, Syahmi Adib Haikal beraksi cemerlang selaku benteng terakhir.

Skuad kendalian Hassan Sazali Waras yang dibarisi sebahagian besar muka baharu berbanding ketika muncul juara Kejuaraan B-19 AFF, bulan lalu turut melakukan percubaan terutama di babak kedua, namun tidak berjaya menghasilkan jaringan.

Malah, Malaysia dan Thailand terus buntu untuk mencipta jaringan hingga wisel penamat yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Kejohanan empat penjuru itu adalah anjuran Konfederasi Bolasepak Vietnam (VFF) yang berlangsung dari 5 hingga 11 Ogos ini.

Seterusnya, Harimau Malaya B-19 akan berdepan tuan rumah, Vietnam, Ahad ini sebelum menentang Myanmar, Selasa ini dengan kedua-duanya turut berlangsung di Stadium Binh Duong.

Menggunakan format liga sepusingan, dua pasukan teratas akan bertemu di final, manakala dua pasukan berikutnya bakal beraksi untuk penentuan tempat ketiga dan keempat pada 11 Ogos ini.

Berita Harian X