Ahad, 31 Julai 2022 | 10:29pm
Pemain Sabah FC, Mohd Amri Yahyah (tengah) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan Liga Super 2022 menentang Melaka United FC di Stadium Likas, malam ini. STR/MOHD ADAM ARININ
Pemain Sabah FC, Mohd Amri Yahyah (tengah) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan Liga Super 2022 menentang Melaka United FC di Stadium Likas, malam ini. STR/MOHD ADAM ARININ

Amri hadiahkan tiga mata untuk Sabah

KOTA KINABALU: Amri Yahyah sekali lagi menjadi wira apabila meledak dua gol sekali gus membantu Sabah bangkit menewaskan Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.

Kedua-dua gol dijaringkan Amri pada separuh masa kedua, masing-masing pada minit ke-65 dan ke-90, sekali gus menghampakan harapan Melaka untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata selepas mendahului 1-0 pada babak pertama.

Amri yang baru dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Stuart John Wilkin berjaya mencipta jaringan pertama pada minit ke-65 hasil hantaran Alto Linus, manakala jaringan keduanya dicipta melalui hantaran Muhammad Farhan Roslan.

Terdahulu, Melaka mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol tunggal melalui pemain importnya, Ifedayo Olusegun yang membuat susulan selepas bola ditepis Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-23.

Namun, dengan corak permainan yang agak kucar-kacir berikutan keadaan padang yang becak dan licin akibat hujan lebat, usaha Melaka untuk menambah jaringan tidak berhasil meskipun melakukan banyak percubaan sepanjang baki perlawanan babak pertama.

Awal babak kedua juga menyaksikan pemain Melaka bermula agak agresif melakukan serangan dan hampir sekali lagi menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-53 hingga memberikan sepakan sudut pertama kepada Melaka.

Sabah turut berdepan situasi sama, namun kemasukan Amri dan beberapa pemain muda pada separuh masa kedua sedikit mengubah situasi apabila skuad Sang Badak dilihat lebih menguasai perlawanan sehingga berjaya menyamakan kedudukan dan meledak gol kemenangan.

Perlawanan itu turut menyaksikan dua pemain iaitu Ahmad Haziq dari Melaka dan Rawilson Batuil dari Sabah FC dilayangkan kad merah kerana bermain secara agresif.

Berita Harian X