Selasa, 26 Julai 2022 | 11:02pm
Pemain Terengganu FC II,  Muhammad Muslihuddin (kiri) diasak pemain PDRM FC, Alif Naquiddin  pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. STR/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC II,  Muhammad Muslihuddin (kiri) diasak pemain PDRM FC, Alif Naquiddin  pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. STR/GHAZALI KORI

PDRM 'gari' TFC II

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) 'berputih mata' di tempat sendiri selepas tumpas 0-2 kepada PDRM FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad PDRM FC naik satu tangga di kedudukan kelima liga dengan mengutip 18 manakala TFC II turun di tangga ketiga dengan 23 mata.

Terdahulu jangkaan untuk melihat aksi menarik diperagakan kedua-dua pasukan ternyata meleset kerana tidak banyak percubaan bahaya dilakukan penyerang skuad The Turtles dan The Corps.

Hanya satu percubaan tepat masing-masing dimiliki skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail menerusi Fadi Mahmoud Awad Saleh pada minit ke-13 manakala skuad kendalian Badrul Afzan Razali menerusi tandukan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-29.

Bagaimanapun memasuki babak kedua, corak permainan disajikan kedua-dua pasukan berubah dengan lebih kerap mengasak ke kubu lawan masing-masing.

Pada minit ke-48, pemain import PDRM FC, Milos Lacny menutup mulut kira-kira 125 peminat setia yang hadir apabila mudah menolak masuk gol sulung perlawanan berpunca daripada sepakan penjuru G Durrkeswaran untuk skuadnya mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu, tempo permainan semakin menarik, Lacny hampir menambah jaringan kedua pasukannya pada minit ke-54, namun bola tolakannya sedikit melepasi palang gol.

Sembilan minit berselang, giliran pasukan tuan rumah mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, bagaimanapun sepakan Nur Azfar Fikri berjaya ditepis penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Pada minit ke-89, pemain tengah, Martin Adamec menamatkan sisa perjuangan skuad The Turtles apabila berjaya meledak gol kedua pasukannya menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.

Berita Harian X