Khamis, 14 Julai 2022 | 3:52pm
Gambar fail menunjukkan bumbung Stadium Shah Alam kelihatan bocor. - NSTP/ARKIB
Gambar fail menunjukkan bumbung Stadium Shah Alam kelihatan bocor. - NSTP/ARKIB

Isu Stadium Shah Alam: Noh minta MB Selangor henti salahkan BN

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diminta tidak lagi menyalahkan Barisan Nasional (BN) yang pernah mentadbir negeri ini sebelum ini atas kerosakan serta kerja penyelenggaraan Stadium Shah Alam.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata tidak wajar BN masih dipersalahkan dalam isu penyelenggaraan stadium terbabit sedangkan sudah tiga penggal Pakatan Harapan (PH) memerintah Selangor.

Ia reaksi kepada kenyataan Amirudin sebelum itu bahawa masalah kerosakan stadium berkenaan sudah berlarutan sejak zaman pentadbiran BN dan perlu ditangani secara menyeluruh termasuk cadangan merobohkannya.

Malah, Menteri Besar menjelaskan, Kerajaan Selangor sudah melaksanakan kajian sejak dari awal berhubung status Stadium Shah Alam, sama ada perlu diselenggara atau dirobohkan bagi penjimatan kos.

Jawapan Amirudin itu menyusul selepas Noh pada Selasa lalu, menegaskan stadium berkenaan tidak sepatutnya dirobohkan jika diselenggara dengan baik oleh kerajaan negeri.

Ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) kepada mangsa banjir kawasan Shah Alam di Uptown Shah Alam di sini, malam tadi, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu meminta Amiruddin berhenti menyalahkan orang lain.

"Saya nak ingatkan MB Selangor, dia (PH) sudah) memerintah berapa lama? Masih hendak salahkan BN lagi? Sudah tiga penggal daripada 2008, takkan nak tengok salah BN lagi, cukup-cukuplah salahkan orang lain," katanya .

Terdahulu pada majlis malam tadi, seramai 152 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir di Uptown Shah Alam dan sekitar bandar raya ini pada awal tahun ini menerima manfaat SMEEF 2.0 dengan nilai keseluruhan RM14.67 juta.

Noh (tengah) pada Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) kepada peniaga di Shah Alam yang terjejas akibat banjir. - NSTP/FAIZ ANUAR
Noh (tengah) pada Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF 2.0) kepada peniaga di Shah Alam yang terjejas akibat banjir. - NSTP/FAIZ ANUAR

"Seramai 62 daripada 152 penerima adalah peniaga di Uptown Shah Alam. Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM100 juta yang mana pinjaman maksimum RM100,000 tanpa faedah serta satu tahun moratorium diberikan kepada usahawan yang terjejas akibat banjir.

"Daripada RM100 juta itu, negeri paling banyak mendapat kemudahan daripada skim ini adalah Selangor iaitu 851 penerima diberikan bantuan dalam bentuk pinjaman. Penerima paling ramai adalah di Shah Alam kerana kita tahu banjir teruk berlaku di sini," katanya.

Berita Harian X