Ahad, 3 Julai 2022 | 10:33pm
Pemain Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed gagal menepis bola tandukan pemain Sabah FC, Taesu Park pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - NSTP/Azrul Edham
Pemain Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed gagal menepis bola tandukan pemain Sabah FC, Taesu Park pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - NSTP/Azrul Edham

NSFC kecundang di Paroi

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kecundang 0-1 di tangan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, sebentar tadi.

Kekalahan itu membolehkan Sabah memintas Negeri Sembilan di tangga kedua carta liga.

Jaringan tunggal Taesu Park membolehkan Sabah meraih tiga mata.

Percubaan tepat Negeri Sembilan ke arah pintu gol Sabah hadir pada minit keenam menerusi percubaan lerek Matheus Alves namun berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Kedua-dua pasukan dilihat tidak berputus asa untuk mendapatkan gol menerusi jentera serangan masing-masing, namun setiap gerakan dan percubaan yang dilakukan mudah dipatahkan bahagian pertahanan.

Peluang kedua skuad Hobin Jang Hobin untuk memecah kebuntuan jaringan hadir lagi pada minit ke-35, bagaimanapun lorongan bola oleh Gustavo Almeida ke dalam kawasan gol gagal disambar dengan baik pemain Negeri Sembilan.

Pemain Sabah FC, Taesu Park meraikan gol pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - NSTP/Azrul Edham
Pemain Sabah FC, Taesu Park meraikan gol pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - NSTP/Azrul Edham

Biarpun kedua-dua pasukan menurunkan barisan terbaik termasuk kelima-lima pemain import yang mereka miliki, namun tiada gol dapat dijaringkan pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, mereka dilihat menggandakan asakan ke dalam kawasan kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan gol.

Bagaimanapun, Sabah terlebih dulu berjaya memecah kebuntuan menerusi gol pertama oleh Taesu Park pada minit ke-61, yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Gol itu berpunca daripada sepakan bola mati oleh Jackson De Souza dari jarak kira-kira 40 meter dan bola berkenaan ditanduk kemas Taesu ke dalam gawang Negeri Sembilan.

Berita Harian X