Sabtu, 2 Julai 2022 | 12:14pm

Berapa JDT 'balun' Melaka malam ini?

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan merangkul kemenangan dalam dua aksi pertama, adakah tempoh 'bulan madu' yang dinikmati pengendali interim Melaka United (MU), Asri Ninggal sudahpun berakhir?

Bermula baik apabila menamatkan rekod tanpa kemenangan Melaka menerusi kemenangan ke atas Sri Pahang FC (SPFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 'graf' persembahan anak buah Asri mula menurun memasuki aksi ketiga.

Buktinya, mereka terikat tanpa jaringan pada 'Derbi Naning' menentang Negeri Sembilan sebelum dikejutkan dengan kekalahan 3-2 di tangan pasukan di zon penyingkiran ketika itu, Sarawak United.

Tanpa kemenangan dalam dua perlawanan dan 'terpelecok' ke tangga ke-10 Liga Super , Asri berdepan cabaran untuk 'menarik' semula skuad Kancil ke landasan sebenar meskipun masih memiliki kelebihan beberapa perlawanan dalam tangan.

Asri harus membuktikan kemampuan yang ditunjukkan olehnya sebelum ini tidak seperti 'magis' Cinderella yang berakhir setakat jam 12 tengah malam dan selepas itu, mereka kembali ke realiti sebenar bola sepak Melaka.

Tunjukkan kekalahan di tangan 'The Crocs' itu bukanlah prestasi sebenar anak buahnya dan hanya sebagai 'satu hari yang buruk di pejabat' cuma sayangnya, perlawanan malam ini bukanlah ruang yang terbaik untuk mereka mencipta kebangkitan.

Ini kerana mereka perlu berdepan 'bapa segala gergasi' dalam Liga Super di Stadium Hang Jebat iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang masih lagi belum 'berdarah' dalam lapan perlawanan liga setakat ini.

Baru turun dalam lapan perlawanan, anak buah Benjamin Mora sudahpun muncul sebagai pasukan terbanyak menjaringkan gol dengan 24 jaringan - lebih tiga gol mengatasi Selangor FC (SFC) yang turut beraksi lapan perlawanan.

Kejayaan mereka membelasah pasukan legenda, Selangor FC (SFC) 5-1 dan PJ City FC 4-0 dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini menunjukkan tak kisahlah pasukan 'besar' ataupun 'kecil', semuanya akan 'dibalun'.

Kemenangan ke atas Melaka pada aksi kesembilan JDT akan meletakkan mereka 'lima tiang' mengatasi pencabar terdekat, Negeri Sembilan (NSFC) dan enam mata di depan Sabah FC, masing masing dengan 11 dan sembilan perlawanan.

Lebih memburukkan keadaan, Melaka seakan ada 'badi' di laman sendiri apabila belum lagi menang dalam tiga aksi di Stadium Hang Jebat setakat ini - sebaliknya buat JDT yang menang semua dua aksi di tempat lawan.

Dengan skuad Harimau Selatan sudahpun 'gayat' di puncak, mereka sama sekali tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan sudah pasti berkeinginan untuk terus selesa berada di takhta liga.

Tiada istilah berbelas kasihan dalam kamus bola sepak kerana mereka mereka pernah menang 4-0, 5-1 dan 6-0 - mereka bukan sahaja bermain untuk menang tetapi 'bernafsu' untuk meledak seberapa banyak gol yang mungkin.

JDT memang 'kebal' tetapi tidak bermakna mereka tidak boleh dihentikan, tanyalah kepada SPFC bagaimana mereka mencipta kejutan menafikan JDT daripada mengutip mata penuh buat julung kalinya pada musim ini.

Walaupun kemenangan rutin buat JDT dijangka disaksikan malam ini tetapi itu tidak bermakna Melaka harus membenarkan ini terjadi tanpa melakukan apa apa - Mat Kilau sudah melakukannya sebelum ini, jadi mungkin ini giliran Hang Tuah pula?

Berita Harian X