Khamis, 23 Jun 2022 | 5:01pm
Skuad Harimau Malaya meraikan kejayaan menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini sekali gus layak ke pusingan akhir kejohanan berkenaan. Pencapaian pada kelayakan itu membolehkan kedudukan ranking Malaysia kini melonjak ke tangga ke-147. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Ranking Harimau Malaya melonjak ke-147 dunia

KUALA LUMPUR: Kedudukan skuad Harimau Malaya kini melonjak ke tangga ke-147 dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi kemas kini ranking badan induk bola sepak dunia itu, skuad kendalian Kim Pan Gon naik tujuh anak tangga berbanding berada di tangga ke-154 pada kemas kini terakhir, Mac lalu.

Keputusan positif diraih skuad kebangsaan dalam beberapa aksi perlawanan persahabatan dan ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini menyumbang kepada kenaikan ranking skuad Harimau Malaya.

Pasukan kebangsaan yang menamatkan badi layak ke Piala Asia tahun depan secara merit selepas 42 tahun, mengumpul 1057.59 mata keseluruhan dan menyaksikan penambahan 22.53 mata berbanding sebelum ini.

Berdasarkan kedudukan terbaharu itu, skuad Harimau Malaya berada di kedudukan ke-26 dalam kalangan negara Asia, dan keempat di Asia Tenggara selepas Vietnam (97), Thailand (111) dan Filipina (134).

Bagi kedudukan keseluruhan, Brazil kekal sebagai pasukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1837.56 mata, sementara Belgium di tangga kedua (1821.92) dan Argentina ketiga (1770.65).

Berita Harian X