Jumaat, 10 Jun 2022 | 8:33pm
Pemain JDT, Bergson Da Silva cuba melepasi pemain Hougang United FC, Anders Aplin pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. Foto ihsan Johor Southern Tigers
Pemain JDT, Bergson Da Silva cuba melepasi pemain Hougang United FC, Anders Aplin pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. Foto ihsan Johor Southern Tigers

JDT belasah Hougang United 8-0

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk membelasah Hougang United FC dari Singapura 8-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Ia adalah aksi pemanas badan berstatus antarabangsa bagi persiapan skuad kendalian Benjamin Mora untuk berdepan kelab Liga 1 Jepun (J1 League), Urawa Red Diamonds pada aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 18 Ogos ini.

Tanpa beberapa pemain yang bersama skuad Harimau Malaya mengharungi kempen Kumpulan E kelayakan Piala Asia, Mora tampak mempertaruhkan barisan simpanan bagi menguji prestasi masing-masing selain memastikan pemain meraih minit permainan.

JDT mengundang cemas di gawang kelab dari Singapura itu seawal minit keenam selepas Ahmad Hazwan Bakri yang menerima umpanan bola daripada Leandro Velazquez merembat kencang namun hanya sipi dari gawang gol.

Hougang United FC juga memiliki peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-16 tetapi bola rembatan dari jarak 25 meter Pedro Bortoluzo sekadar sipi di penjuru kanan gawang.

Berpunca daripada bola lorongan Velazquez pada minit ke-24 menyaksikan Bergson Da Silva bertindak memperdayakan benteng pasukan pelawat sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, M Mukundan untuk meletak JDT mendahului 1-0.

JDT terus berada di hadapan pada minit ke-34 apabila bola sepakan percuma Velazquez dari jarak 20 meter tepat ke penjuru kanan gawang.

Selang dua minit kemudian berpunca daripada gerakan S Kunanlan yang melorongkan bola di dalam kotak penalti berjaya disambar Ahmad Hazwan untuk merembat bola leret menewaskan Mukundan untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan menambah derita anak didik Clement Teo selepas Ramadhan Saifullah yang tidak di kawal tatkala berada di dalam kotak penalti merembat bola leret menewaskan penjaga gol gantian, Aizal Yazid.

Manakala pemain gantian Fernando Rodriguez mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-58 selepas menerima bola lorongan Ahmad Hazwan untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 5-0.

Rodriguez mencetak gol kedua peribadi bagi memastikan JDT selesa dengan jaringan 6-0 apabila mudah merembat bola leret menewaskan penjaga gol gantian, Zainol Gulam.

Ramadhan juga turut menjaringkan gol pada minit ke-75 dan Ailif Mutalib pada minit ke-81 bagi melengkap kemenangan bergaya JDT.

Berita Harian X