Rabu, 8 Jun 2022 | 11:07pm
Skuad Harimau Muda tewas kepada Vietnam pada aksi terakhir saingan kumpulan Piala Asia. - Foto Facebook Football Association of Malaysia
Skuad Harimau Muda tewas kepada Vietnam pada aksi terakhir saingan kumpulan Piala Asia. - Foto Facebook Football Association of Malaysia

Harimau Muda pulang tangan kosong

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pulang dengan tangan kosong dari kejohanan Piala Asia apabila tewas 0-2 di tangan Vietnam di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan, sebentar tadi.

Vietnam berada di depan pada minit ke-28 hasil jaringan Nham Manh Dung yang menanduk masuk bola hantaran lintang Nguyen Thanh Nhan.

Malang bagi skuad Harimau Muda apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hairiey Hakim dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak pertama.

Peluang itu digunakan Vietnam yang juga naib juara 2018 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan lebih selesa apabila Bui Hoang Viet Anh meledak gol kedua pada masa kecederaan.

Kedua-dua pasukan mendapat peluang pada babak kedua, namun gagal disudahkan dengan jaringan dan kedudukan 2-0 memihak Vietnam kekal hingga wisel penamat.

Ia kekalahan ketiga berturut-turut dialami anak buah Brad Maloney selepas tewas 1-4 dan 0-3 di tangan Korea Selatan dan Thailand dalam aksi sebelum ini.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Muda yang sudah sah terisngkir selepas tewas di tangan Thailand, Ahad lalu menutup saingan Kumpulan C tanpa sebarang mata dan menghuni tangga tercorot.

Kejayaan menundukkan Malaysia menyaksikan Vietnam mengiringi Korea Selatan ke suku akhir dengan juara 2020 itu menewaskan Thailand 1-0 dalam satu lagi perlawanan terakhir Kumpulan C.

Berita Harian X