Selasa, 31 Mei 2022 | 4:32pm
Mohamed Salah (kiri) bersama rakan sepasukan, Harvey Elliott ketika perarakan bas meraikan kejayaan Liverpool musim ini di bandar Liverpool, kelmarin. - Foto REUTERS.
Mohamed Salah (kiri) bersama rakan sepasukan, Harvey Elliott ketika perarakan bas meraikan kejayaan Liverpool musim ini di bandar Liverpool, kelmarin. - Foto REUTERS.

Salah jadi pilihan peminat

LONDON: Pemain Liverpool, Mohamed Salah memenangi Anugerah Pemain Terbaik Peminat PFA saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tahun ini selepas musim cemerlang bersama The Reds, walaupun terdapat gelaran 'perompak' disuarakan oleh peminat di media sosial.

Salah menamatkan kempen 2021/22 dengan Kasut Emas EPL yang ketiga, selepas terikat bersama pemain Tottenham Heung-Min Son dengan meledak 23 gol, sebelum memenangi anugerah berprestij menerusi undian peminat.

Walapun di sebalik musim yang mengagumkan, terdapat peminat di media sosial yang menyifatkan bahawa anugerah itu dirompak dari pemain Manchester City, Kevin de Bruyne.

Keputusan memberikan anugerah itu kepada Salah menimbulkan kemarahan peminat dalam media sosial, dengan ada yang mendakwa bintang City itu adalah 'lebih baik' tahun ini.

Seorang peminat menulis: "Kevin de Bruyne lebih berhak mendapatnya jika kita jujur".

"De Bruyne dirompak," tambah seorang lagi peminat.

Bintang Mesir itu memenangi anugerah berkenaan buat kali ketiga dalam kariernya - selepas merangkul gelaran itu pada 2018 dan 2021.

Salah mencipta satu lagi musim berkelas dunia untuk pasukan Jurgen Klopp dengan 23 gol dalam EPL mengekalkan perebutan kejuaraan hingga perlawanan terakhir musim ini - sebelum akhirnya gelaran menjadi milik City.

- AGENSI

Berita Harian X