Sabtu, 28 Mei 2022 | 10:09am
Pengendali Spurs Antonio Conte (kiri) dan penyerang Harry Kane akan terus bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu musim depan. - Foto AGENSI
Pengendali Spurs Antonio Conte (kiri) dan penyerang Harry Kane akan terus bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu musim depan. - Foto AGENSI

Conte setuju kekal selepas dapat dana

LONDON: Penyokong Spurs kini boleh menarik nafas lega selepas Antonio Conte mengumumkan dia bersetuju untuk terus kekal bersama Tottenham musim depan.

Masa depan Conte menjadi tanda tanya walaupun dia berjaya membawa Spurs ke pentas Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 5-0 di Norwich.

Namun selepas pemilik kelab, Enic mengumumkan suntikan dana 150 juta pound (RM830.1 juta) untuk perpindahan musim panas, Conte bersetuju untuk kekal.

Ia disahkan selepas mesyuarat di Turin antara Conte dan pengarah bola sepak Spurs, Fabio Paratici dengan masing-masing akan memastikan misi memperkuat skuad direalisasikan.

Antara sasaran utama Conte ialah gandingan Inter Milan - Alessandro Bastoni dan Ivan Perisic, pemain Middlesbrough yang dipinjamkan ke Nottingham Forest - Djed Spence, Christian Eriksen serta penyerang sokongan untuk Harry Kane.

Conte juga akan dibantu untuk melepaskan pemain yang tidak dikehendakinya. Antaranya Tanguy Ndombele, Giovani Lo Celso, Bryan Gil, Emerson Royal dan Harry Winks.

Berita itu pasti melegakan peminat Spurs dan pada masa sama ia akan membantu pengerusi kelab Daniel Levy untuk memujuk Kane menandantangani kontrak baharu di Lane.

Kane dilaporkan bersedia untuk kekal bersama Conte bagi memburu trofi pertama bersama Spurs. Usaha mendapatkan bintang Manchester City, Gabriel Jesus juga meningkatkan keyakinan pemain-pemain kelab utara London itu. - AGENSI

Berita Harian X