Jumaat, 27 Mei 2022 | 10:53pm
Pemain JDT II meraikan kejayaan menewaskan Selangor II pada aksi Liga Perdana.
Pemain JDT II meraikan kejayaan menewaskan Selangor II pada aksi Liga Perdana.

JDT II bangkit tewaskan Selangor II

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) terpaksa memerah keringat sebelum melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas Selangor FC II pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, JDT II yang berada di tangga kedua liga selepas mengumpul 21 mata mengekori rapat Kelantan FC yang berada di puncak liga.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-16 selepas Moussa Sidibe yang mengawal bola sempat bertindak merembat bola leret namun hanya sipi dari gawang sebelah kiri ketika penjaga gol, Sikh Izhan Nazre Sikh Azman.

Walaupun sering diasak skuad kendalian Rusdi Suparman melakar kejutan ke atas anak didik Mariono Echeverra pada minit ke-29 selepas bola sepakan percuma Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim tepat ke penjuru kanan gol menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Tertekan selepas ketinggalan 0-1, barisan pemain JDT II menggandakan asakan menerusi gerakan berbahaya Fernando Rodriguez dan Sidibe tetapi masih belum mampu untuk memecah kekebalan benteng pelawat.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah terlepas peluang untuk menyamakan jaringan pada minit ke-48 selepas bola sepakan sudut Sidibe ditanduk kemas Adam Nor Azlin namun berjaya dihalang pemain pertahanan Selangor FC II di atas garisan gol.

Tindakan Bienvenido Maranon yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum melakukan umpanan menyaksikan bola terkena tangan pemain Selangor FC II dan pengadil perlawanan, Abang Azharudin Abdullah tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-53.

Rodriguez yang mengambil sepakan penalti itu merembat kencang ke penjuru kanan menewaskan Sikh Izhan Nazre untuk mengikat kedudukan 1-1.

Tuan rumah meraih gol kedua pada minit ke-60 bagi memimpin perlawanan itu selepas tindakan bijak Sidibe yang memperdaya benteng pelawat sebelum mengumpan bola kepada Rodriguez yang menolak bola menewaskan Sikh Izhan Nazre.

Namun berpunca daripada kesilapan benteng JDT II, anak didik Rusdi bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-76 selepas bola lorongan Fakrul Fareez Aidi berjaya disudahkan Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri yang merembat bola leret menewaskan Izham Tarmizi.

Ketika aksi memasuki masa kecederaan, pemain gantian Gabriel Nistelroy muncul penyelamat buat JDT II apabila menjaringkan gol kemenangan.

Berita Harian X