Selasa, 24 Mei 2022 | 7:01pm
Ketua jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
Ketua jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

Harimau Muda Sukan SEA dikekalkan berentap di Uzbekistan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney memberi bayangan tidak akan merombak pasukannya untuk menghadapi kempen Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang akan bermula minggu depan.

Justeru, sebahagian besar pemain yang beraksi di Sukan SEA 2021 di Hanoi akan dikekalkan walaupun tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat.

Pengendali dari Australia itu menjelaskan pemain juga hanya diberikan rehat sehari selepas tiba di tanah air, semalam dan mereka kembali menjalani latihan, esok sebelum berlepas ke Uzbekistan, Jumaat ini.

"Berdasarkan apa yang saya lihat, mungkin semua pemain yang beraksi di temasya Sukan SEA akan dibawa ke Uzbekistan kerana kami tidak mempunyai pilihan pemain lagi dengan pasukan sedia ada sudah menunjukkan keserasian yang baik," katanya.

Anak buah Maloney terlepas pingat gangsa selepas tewas 3-4 dalam penentuan penalti di tangan Indonesia di Stadium My Dinh, Ahad lalu.

Selain itu, Maloney turut percaya pasukannya sudah membuat persiapan terbaik sebelum ke Uzbekistan dengan mengharungi enam perlawanan yang kompetitif di temasya berkenaan.

"Meskipun kami tidak dapat meraih sebarang pingat, apa yang dilalui pasukan di Vietnam sangat positif dengan kita dapat bersaing enam perlawanan antarabangsa dalam tempoh 14 hari.

"Namun, fokus utama ketika ini adalah untuk mengharungi Piala Asia B-23 dan harap pasukan mampu merekodkan keputusan positif di sana nanti," katanya.

Bagi kempen Piala Asia B-23 nanti, skuad negara akan menentang juara bertahan, Korea Selatan selain dua seteru Asia Tenggara iaitu Vietnam dan juga Thailand selepas diundi dalam Kumpulan C dengan saingan bermula 2 Jun.

Berita Harian X