LONDON: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City terselamat daripada mengalami kekalahan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat West Ham United 2-2 di Stadium London, di sini, sebentar tadi.
City ketinggalan dua gol pada babak pertama hasil jaringan Jarrod Bowen pada minit ke-24 dan 45.
Jack Grealish berjaya merapatkan kedudukan buat skuad kendalian Pep Guardiola pada minit ke-49, sebelum maruah mereka diselamatkan dengan jaringan sendiri pertahanan West Ham, Vladimir Coufal pada minit ke-69.
Satu mata berharga yang diraih City itu menyaksikan mereka mengumpul 90 mata, empat mata mendahului Liverpool yang menghuni tangga kedua. - AGENSI