Sabtu, 14 Mei 2022 | 10:32pm
Pemain Sri Pahang meraikan jaringan mereka ketika bertemu Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Sri Pahang menang 3-0. - Foto ihsan FB Sri Pahang FC.

Sri Pahang mara selepas benam Projek FAM-MSN

KUANTAN: Sri Pahang tidak berdepan masalah untuk layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 pada aksi pusingan kedua di Stadium Darul Makmur, di sini sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah bermula baik dan tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelima menerusi penyerang import, Mahmoud Za'tara yang menanduk tepat hantaran lintang daripada Abdul Malik Mat Ariff.

Pada minit ke-27, Za'tara menjaringkan gol kedua menerusi tandukan kemas yang menewaskan penjaga gol lawan, Mohamad Nabil Asyraf Ramli buat kali kedua.

Aksi perlawanan Sri Pahang bertemu Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Sri Pahang menang 3-0. - Foto ihsan FB Sri Pahang FC.
Aksi perlawanan Sri Pahang bertemu Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Sri Pahang menang 3-0. - Foto ihsan FB Sri Pahang FC.

Skuad muda negara berusaha untuk menembusi kubu tuan rumah tetapi berjaya disekat oleh barisan pertahanan tuan rumah yang diketuai kapten, Nicholas Swirad.

Sebelum tamat separuh masa.pertama, tuan rumah hampir menambah gol ketiga tetapi sepakan percuma Hidalgo terkena tiang gol di sebelah kanan lawan.

Bersambung babak kedua, skuad Projek FAM-MSN tampil lebih mantap dalam usaha mempertahankan gawang daripada dibolosi. Peluang terbaik skuad Projek FAM-MSN hadir menerusi Muhammad Harith Najwan Jamil pada minit ke-73 tetapi bola rembatan pemain tengah itu melepasi palang gol tuan rumah.

Sri Pahang turut beberapa kali menguji jentera pertahanan dan seminit sebelum perlawanan tamat, pemain gantian, Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir menjaringkan gol ketiga buat Sri Pahang.

Kemenangan 3-0 ke atas skuad Projek FAM-MSN mengesahkan Sri Pahang layak ke suku akhir piala berprestij itu.

Berita Harian X