Sabtu, 14 Mei 2022 | 9:50am
Guardiola balas semula kritikan Evra dan Berbatov selepas City tersingkir daripada Liga Juara-Juara.
Guardiola balas semula kritikan Evra dan Berbatov selepas City tersingkir daripada Liga Juara-Juara.

Guardiola tempelak bekas bintang United

LONDON: Pep Guardiola membalas kritikan bekas bintang Manchester United, Patrice Evra dan Dimitar Berbatov berkaitan karakter Manchester City selepas pasukan itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara.

Guardiola berang dengan komen dua pemain itu selepas kekalahan City dalam dua perlawanan separuh akhir berdepan Real Madrid.

City melepaskan dua gol dalam minit terakhir sebelum tewas 6-5 secara agregat dalam perlawanan berlanjutan ke tambahan masa.

Evra berkata skuad Guardiola kurang personaliti dan pemimpin manakala Berbatov mempersoalkan mengenai tumpuan dan fokus mereka.

City membalas dengan gaya tersendiri apabila meledak 10 gol dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang hampir membawa mereka meraih gelaran keempat dalam lima musim.

Guardiola yang juga kecewa dengan kritikan bekas pemain tengah Real Madrid, Clarence Seedorf membalas kritikan itu.

Bos City itu merujuk kepada pasukan Barcelona yang dipimpinnya yang mengetepikan United pada final Liga Juara-Juara 2009 dan 2011.

Evra dan Berbatov beraksi dengan United pada 2009 dengan Evra bersama pasukan yang tewas sekali lagi dua tahun kemudian.

"Bekas pemain istimewa seperti Berbatov, Seedorf dan Evra, dan mereka ini, tidak berada di sana," kata Guardiola.

"Saya menentang mereka sebelum ini, dan saya tidak lihat personaliti seperti itu ketika kami memusnahkan United dalam final Liga Juara-Juara.

"Anda tiada personaliti kerana anda melepaskan dua gol dalam seminit selepas anda ada peluang menjaringkan gol?

"Kadangkala bola sepak seperti ini dan ia berlaku. Kami tidak boleh mengawal banyak perkara tetapi apabila anda bermain dalam tahap terakhir untuk empat atau lima tahun, ia menakjubkan.

"Kami ada personaliti menakjubkan. Saya minta maaf tetapi saya memang tidak bersetuju. Personaliti ialah apa yang kami lakukan sejak lima tahun lalu, setiap tiga hari, dalam semua kejohanan."

Skuad kendalian Guardiola boleh melenyapkan kritikan dengan mempertahankan gelaran EPL. - AFP

Berita Harian X