Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:26pm
Pengendali JDT, Benjamin Mora (kanan) mengendalikan sesi latihan skuadnya di Johor hari ni sebagai persiapan menghadapi Sarawak United pada aksi Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Pengendali JDT, Benjamin Mora (kanan) mengendalikan sesi latihan skuadnya di Johor hari ni sebagai persiapan menghadapi Sarawak United pada aksi Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

JDT, Sri Pahang dijangka mudah mara aksi Piala FA

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC dijangka tidak berdepan masalah untuk lolos ke suku akhir Piala FA selepas aksi pusingan kedua, malam esok.

JDT akan berdepan Sarawak United di Stadium Sultan Ibrahim manakala Sri Pahang pula melayan kunjungan skuad Projek FAM-MSN di Stadium Darul Makmur.

Bagi JDT, kejayaan membelasah Sarawak United 6-0 pada aksi Liga Super di gelanggang sama, Mac lalu sudah cukup untuk meletakkan mereka sebagai pasukan pilihan.

Malah, berdasarkan prestasi konsisten dan sentiasa dahagakan kemenangan skuad Harimau Selatan jelas sukar untuk anak buah B Sathianathan membalas dendam atau mencipta keajaiban di Stadium Sultan Ibrahim.

Benjamin Mora mungkin melakukan beberapa perubahan pemain, namun ia tidak akan menjejaskan persembahan pasukannya kerana semua tahu juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu memiliki ramai pemain yang berkualiti termasuk dalam barisan simpanan.

Sri Pahang pula pasti mahu menebus kekecewaan tewas 1-2 di tangan Sarawak United dalam aksi Liga Super, Rabu lalu dengan menjadikan skuad Projek FAM-MSN sebagai mangsa mereka.

Berstatus pasukan Liga Super dan memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, tiada alasan untuk skuad kendalian Christophe Gamel itu gagal meraih kemenangan dan menempah tiket ke suku akhir.

Sementara itu, dua lagi aksi yang akan berlangsung malam esok membabitkan Melaka United FC dan PJ City FC di Stadium Hang Jebat serta Penang FC pula berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh.

Pertembungan antara Melaka United dan PJ City dijangka lebih sengit berbanding aksi lain dengan kedua-duanya berdepan prestasi kurang konsisten dalam beberapa perlawanan awal Liga Super.

Kelebihan mungkin menjadi milik Melaka United dengan skuad Hang Tuah dilihat sedang bangkit daripada masalah prestasi apabila merekodkan dua kemenangan berturut-turut di gelanggang lawan termasuk menewaskan Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang.

Pertembungan dua pasukan tercorot Liga Perdana dan Liga Super iaitu Perak dan Penang juga tidak kurang menariknya dengan kedua-duanya masih bergelut pada musim ini.

Jika dinilai berdasarkan barisan pemain dan status liga, Penang boleh dianggap memiliki kelebihan besar untuk mara ke suku akhir Piala FA.

Piala FA

Sabtu

JDT mln Sarawak Utd 8.15 mlm

Sri Phang mln Projek FAM-MSN 8.15 mlm

Melaka Utd mln PJ City 9 mlm

Perak FC mln Penang FC 9 mlm

Selasa

Perlis Utd mln Kuching City

Berita Harian X