Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:25pm
Kapten B-23 kebangsaan, Muhammad Mukhairi Ajmal (kanan) diasak pemain Laos pada aksi Kumpulan B saingan Sukan SEA di Stadium Thien Truong, kelmarin. Malaysia menang 3-1. - Foto BERNAMA
Kapten B-23 kebangsaan, Muhammad Mukhairi Ajmal (kanan) diasak pemain Laos pada aksi Kumpulan B saingan Sukan SEA di Stadium Thien Truong, kelmarin. Malaysia menang 3-1. - Foto BERNAMA

Atasi Singapura, Malaysia boleh layak awal

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh menempah tiket awal ke separuh akhir dalam acara bola sepak Sukan SEA Hanoi dengan syarat mengalahkan Singapura di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, esok.

Berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan dalam Kumpulan B, skuad 'Harimau Muda' memiliki potensi besar untuk meraih tiga mata berharga berkenaan.

Merekodkan kemenangan bersih dalam dua perlawanan awal dengan mengatasi Thailand dan Laos, anak buah Brad Maloney pasti berada pada motivasi terbaik untuk menjadikan skuad kendalian Nazri Nasir sebagai mangsa ketiga.

Namun, barisan pemain negara yang diketuai kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi tetap perlu berwaspada dan tidak boleh mengambil mudah terhadap kemampuan lawan yang juga berkemampuan untuk mencipta kejutan.

Beraksi kali pertama di waktu petang selepas dua perlawanan sebelum ini berlangsung sebelah malam, anak buah Maloney juga perlu menyesuaikan diri sebaik mungkin dengan situasi itu bagi memastikan misi meraih tiga mata tercapai.

Bagi Maloney, dia dilihat enggan terburu-buru untuk memikirkan mengenai langkah anak buahnya ke separuh akhir, sebaliknya mahu memberi fokus dalam baki perlawanan di peringkat kumpulan terlebih dahulu.

"Kami fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan memilih pemain terbaik yang boleh diturunkan. Kami bermula baik setakat ini dengan dua kemenangan dalam dua perlawanan dan kami mahu meneruskan momentum itu.

"Kami tidak boleh memandang mudah dan perlu fokus aksi berdepan Singapura untuk mendapatkan keputusan yang positif," kata Maloney.

Malaysia kini mendahului carta kumpulan dengan mengumpul enam mata, manakala Singapura yang sudah beraksi tiga perlawanan di tangga kedua dengan empat mata.

Pemenang pingat emas edisi 2017, Thailand pula di kedudukan ketiga dengan tiga mata dan skuad itu akan menentang Kemboja dalam satu lagi aksi Kumpulan B yang akan berlangsung jam 8 malam di gelanggang sama.

Sementara itu, tonggak pertahanan negara, Quentin Cheng menegaskan keyakinan semua pemain berada pada tahap terbaik selepas berjaya meraih kemenangan bersih dalam dua perlawanan awal.

"Kami kini sangat yakin selepas bermula dengan sangat baik. Dengan kualiti yang ada, kami akan cuba yang terbaik untuk mara ke final bagi mendapatkan pingat emas," katanya.

Kumpulan B

Sabtu:

Singapura mln Malaysia - Std Thien Truong, Nam Dinh, 5 ptg

Thailand mln Kemboja - Std Thien Truong, Nam Dinh, 8 mlm

KedudukanPMSKJBMt
Malaysia2200526
Singapura3111374
Thailand2101623
Kemboja2101423
Laos3012491

 

Berita Harian X