Rabu, 11 Mei 2022 | 10:16pm
Penyerang skuad B-23, Luqman Hakim Shamsudin (tiga kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Sukan SEA bagi Kumpulan B di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam malam tadi. Malaysia menang 3-1. - Foto ihsan FB FAM.
Penyerang skuad B-23, Luqman Hakim Shamsudin (tiga kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Sukan SEA bagi Kumpulan B di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam malam tadi. Malaysia menang 3-1. - Foto ihsan FB FAM.

Malaysia lunas dendam, benam Laos di Hanoi

KUALA LUMPUR: Skuad 'Harimau Muda' melunaskan dendam ke atas Laos selepas meraih kemenangan 3-1 dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Sukan SEA 2021 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam, sebentar tadi.

Menyenaraikan ramai pemain berbeza berbanding ketika tewas dua kali di tangan pasukan sama dalam Kejuaraan AFF, Februari lalu, menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney berjaya menjadikan anak buah Michael Weis sebagai mangsa kedua di Hanoi.

Aksi cemerlang di semua bahagian terutama tengah yang dikemudi kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nik Akif Syahiran Nik Mat membolehkan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menampilkan aksi meyakinkan serta menguasai permainan.

Hasilnya, penyerang yang beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin meledak gol pembukaan Malaysia pada minit ke-36 selepas menerima hantaran daripada Nik Akif.

Dua minit sebelum tamat babak pertama, Syahir Bashah terus menceriakan kem negara apabila rembatannya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Laos, Keo Oudone buat kali kedua.

Luqman kemudian menambah gol ketiga Malaysia pada minit ke-67 selepas merembat masuk bola yang berpunca daripada hantaran lambung Azfar Fikri Azhar.

Laos cuba bangkit dan mereka berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-85 menerusi Visith Bounpaserth, namun ia sudah terlambat untuk menghalang Malaysia daripada meraih tiga mata berharga.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia memimpin Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas turut menewaskan Thailand 2-1 pada aksi pertama, Sabtu lalu. Laos pula menduduki tangga kelima iaitu terakhir dengan satu mata selepas tiga aksi.

Seterusnya, anak buah Maloney akan berdepan Singapura pada Sabtu ini sebelum aksi terakhir kumpulan menentang Kemboja (16 Mei).

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Singapura menewaskan Kemboja, 1-0. Kemenangan itu membolehkan Singapura menduduki tempat kedua dengan himpunan empat mata selepas tiga aksi manakala Kemboja di tangga keempat dengan tiga mata selepas dua perlawanan.

Berita Harian X