Rabu, 11 Mei 2022 | 7:18pm
Skuad futsal negara (jersi kuning) bersama pasukan Thailand sebelum sepak mula saingan pembukaan Sukan SEA 2021 di Stadium Tertutup Ha Nam, Hanoi, Vietnam, hari ini. Malaysia tewas 2-6. - Foto ihsan FB FAM.
Skuad futsal negara (jersi kuning) bersama pasukan Thailand sebelum sepak mula saingan pembukaan Sukan SEA 2021 di Stadium Tertutup Ha Nam, Hanoi, Vietnam, hari ini. Malaysia tewas 2-6. - Foto ihsan FB FAM.

Jurulatih skuad futsal negara kecewa

HANOI: Jurulatih skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong kecewa dengan persembahan anak buahnya apabila kalah kepada Thailand 2-6 pada aksi pembukaan saingan Sukan SEA 2021 di Stadium Tertutup Ha Nam, di sini, hari ini.

Menurut Chun Yong, anak buahnya memulakan saingan dengan aksi teruk terutama pada separuh masa pertama.

"Secara jujur kami bermain dengan buruk pada separuh masa pertama sebelum melakukan perubahan taktikal di separuh masa kedua.

"Kami melakukan kesilapan mudah terutama tiga gol yang dilepaskan melalui set piece, ia tidak boleh diterima," katanya yang juga bekas pemain futsal kebangsaan.

Chun Yong berkata mereka melakukan beberapa perubahan dan bermain seperti sebelum ini selepas ketinggalan namun ia agak terlambat.

"Bagaimanapun, saya gembira pemain sudah cuba yang terbaik tidak pernah berputus asa pada separuh masa kedua. Bagaimanapun, aksi separuh masa pertama menentang Thailand tidak boleh diterima, jadi saya harap mereka tidak mengulangi kesilapan sama berdepan Vietnam nanti," katanya.

Thailand yang juga pemenang pingat emas edisi 2017 tidak menunggu lama untuk berada di depan seawal minit pertama menerusi jaringan Ronnachai Jungwongsuk.

Juara kejuaraan Futsal AFF 2022 itu menambah jaringan menerusi Peerapat Kaewwilai pada minit keenam, sebelum Muhammad Osamanmusa meledak gol ketiga, dua minit kemudian.

Kaewwilai dan Jungwongsuk kemudian menambah dua lagi jaringan buat Thailand pada minit ke-16 dan 19 untuk pasukannya selesa mendahului 5-0 pada babak pertama.

Malaysia cuba bangkit pada babak kedua dan anak buah Chun Yong terpaksa menunggu sehingga minit ke-35 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi Ekmal Shahrin.

Tidak sampai seminit kemudian, ketua pasukan negara, Khairul Effendy Bahrin menambah motivasi buat pasukan negara apabila meledak gol kedua.

Kebangkitan yang cuba dilakukan Malaysia itu bagaimanapun dihalang Kaewwilai apabila dia meledak gol keenam Thailand pada minit ke-38.

Malaysia seterusnya dijadual bertemu tuan rumah, Vietnam, Sabtu ini sebelum menentang Indonesia (16 Mei) dan Myanmar (20 Mei) dengan saingan dijalankan secara format liga sepusingan.

Berita Harian X