Rabu, 11 Mei 2022 | 6:25pm
Aksi skuad futsal negara (jersi kuning) ketika berdepan Thailand pada perlawanan pembukaan Sukan SEA di Stadium Tertutup Ha Nam, Hanoi, Vietnam, hari ini. - Foto ihsan FB FAM.
Aksi skuad futsal negara (jersi kuning) ketika berdepan Thailand pada perlawanan pembukaan Sukan SEA di Stadium Tertutup Ha Nam, Hanoi, Vietnam, hari ini. - Foto ihsan FB FAM.

Skuad futsal bermula langkah kiri di Hanoi

KUALA LUMPUR: Skuad futsal lelaki negara memulakan saingan di Sukan SEA Hanoi dengan langkah kiri apabila tewas 6-2 di tangan Thailand dalam aksi di Stadium Tertutup Ha Nam, hari ini.

Thailand yang juga pemenang pingat emas edisi 2017 tidak menunggu lama untuk berada di depan seawal minit pertama menerusi jaringan Ronnachai Jungwongsuk.

Juara Kejohanan Futsal AFF 2022 itu menambah jaringan menerusi Peerapat Kaewwilai pada minit keenam, sebelum Muhammad Osamanmusa meledak gol ketiga, dua minit kemudian.

Kaewwilai dan Jungwongsuk kemudian menambah dua lagi jaringan buat Thailand pada minit ke-16 dan 19 untuk pasukannya selesa mendahului 5-0 pada babak pertama.

Malaysia cuba bangkit pada babak kedua dan anak buah Chiew Chun Yong terpaksa menunggu minit ke-35 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi Ekmal Shahrin.

Tidak sampai seminit kemudian, Khairul Effendy Bahrin menambah motivasi buat pasukan negara apabila meledak gol kedua.

Kebangkitan yang cuba dilakukan Malaysia itu bagaimanapun dirosakkan Kaewwilai apabila dia meledak gol keenam Thailand pada minit ke-38.

Malaysia seterusnya dijadual bertemu tuan rumah, Vietnam, Sabtu ini sebelum menentang Indonesia (16 Mei) dan Myanmar (20 Mei) dengan saingan dijalankan secara format liga sepusingan.

Berita Harian X