Sabtu, 7 Mei 2022 | 10:40pm
Pemain JDT II meraikan jaringan ketika menentang PDRM FC pada aksi Liga Perdana.
Pemain JDT II meraikan jaringan ketika menentang PDRM FC pada aksi Liga Perdana.

JDT II rampas takhta Liga Perdana

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kembali merampas kedudukan teratas liga daripada Kelantan FC selepas membelasah PDRM FC 5-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi.

Apapun JDT II pastinya menaruh harapan tinggi kepada Terengganu FC II (TFC II) untuk menewaskan Kelantan FC pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam esok, bagi mengekalkan kedudukan itu.

Beraksi di padang yang basah akibat hujan sejak petang tadi tidak menjejas rentak permainan skuad bimbingan Mariano Echeverria yang kerap memberi tekanan terhadap benteng anak didik Wan Rohaimi Ismail namun beberapa peluang terhidang gagal disudahkan.

Skuad Sang Saka Biru pula terlepas peluang keemasan untuk mendahului JDT II selepas bola rembatan deras Mohd Safiee Ahmad di luar kotak penalti hanya singgah palang gol pada minit ke-29 yang menyaksikan kedudukan kekal 0-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama mencipta gol pada minit ke-47 apabila Bienvenido Maranon bijak memperdaya Muhd Asri Muhammad selepas melakukan sepakan lencong sehingga sukar buat penjaga gol PDRM FC itu untuk menghalang bola menerjah jaring.

Tuan rumah terus memberi tekanan terhadap PDRM FC pada minit ke-55, selepas Syamer Kutty Abba mencetak nama selaku penjaring apabila merembat bola kencang menewaskan Asri bagi meletak JDT II selesa mendahului 2-0.

Fernando Rodriguez menghukum kealpaan benteng PDRM pada minit ke-67 selepas mudah menyudahkan bola sepakan lintang Muhamad Alif Abdul Mutalip yang melancarkan gerakan di posisi sayap kanan untuk meletak tuan rumah selesa 3-0.

JDT II tidak berhenti untuk menjaringkan gol selang dua minit kemudian, selepas pemain gantian Gabriel Nistelrooy Tamin bijak mengelirukan benteng pelawat sebelum merembat bola menewaskan Muhd Asri yang terus menjadi mangsa tuan rumah.

Pelawat meraih gol pertama mereka pada minit ke-72 selepas Martin Ademec menyudahkan sepakan percuma dari luar kotak penalti apabila merembat bola leret melepasi celah benteng tuan rumah sekali gus menewaskan Rozaimi.

Berbaki dua minit untuk ditamatkan, tuan rumah menambah derita pelawat selepas Maranon menanduk bola masuk menewaskan Muhd Asri berpunca daripada bola sepakan lambung Muhamad Alif.

Berita Harian X