Jumaat, 6 Mei 2022 | 7:26am
Penyerang Eintracht Frankfurt Rafael Borre meraikan jaringan ketika aksi separuh akhir kedua Liga Europa menentang West Ham di Frankfurt, Jerman. - Foto AFP
Penyerang Eintracht Frankfurt Rafael Borre meraikan jaringan ketika aksi separuh akhir kedua Liga Europa menentang West Ham di Frankfurt, Jerman. - Foto AFP

Frankfurt akhiri kemarau 42 tahun

FRANKFURT: Eintracht Frankfurt mara ke final kejohanan Eropah pertama mereka dalam tempoh 42 tahun selepas menang 1-0 ke atas West Ham pada separuh akhir kedua Liga Europa di laman sendiri dan 3-1 secara agregat.

West Ham terpaksa beraksi 10 orang apabila bek kirinya Aaron Cresswell dilayangkan kad merah pada awal babak pertama dan pengendalinya David Moyes turut diarah keluar padang ketika permainan berbaki 12 minit.

"Amat mengecewakan. Situasi tidak menyebelahi kami malam ini. Perkara-perkara kecil tidak berlaku tetapi saya bangga dengan pemain-pemain saya.

"Bagaimana mereka bermain dengan 10 pemain amat menakjubkan. Mereka terus berjuang," kata Moyes.

Pemain West Ham, Aaron Cresswell dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Jesus Gil Manzano. - Foto Reuters
Pemain West Ham, Aaron Cresswell dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Jesus Gil Manzano. - Foto Reuters

Penyerang Colombia Rafael Borre membuka jaringan di babak pertama untuk membawa Frankfurt ke final Liga Europa pada 18 Mei di Seville menentang gergasi Scotland Rangers.

Mereka juga hanya tinggal satu kemenangan lagi untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali sejak tewas pada final Piala Eropah 1960 di tangan Real Madrid.

West Ham terus kempunan untuk mara ke final kejohanan Eropah selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1976.

Borre menjaringkan gol selepas Cresswell dibuang padang, memaksa pelawat bermain kurang seorang lebih daripada sejam dan perlu meledak dua kali untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

Frankfurt, yang tewas kepada Chelsea menerusi penentuan penalti pada separuh akhir Liga Europa 2019, kali terakhir beraksi di pentas final ialah ketika Piala UEFA 1979-80. - AFP

Penyokong Eintracht Frankfurt meraikan kejayaan pasukan selepas menumpaskan West Ham di Frankfurt, Jerman. - Foto AFP
Penyokong Eintracht Frankfurt meraikan kejayaan pasukan selepas menumpaskan West Ham di Frankfurt, Jerman. - Foto AFP

Berita Harian X