Khamis, 5 Mei 2022 | 9:00pm
Guardiola kecewa apabila pasukannya tewas kepada Real pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara. - REUTERS
Guardiola kecewa apabila pasukannya tewas kepada Real pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara. - REUTERS

Guardiola terkena sumpahan pawang Afrika?

LONDON: Bola sepak adalah permainan yang kejam dan kekalahan di tangan Real Madrid akan terus menghantui Manchester City.

Turun dengan misi ke final buat musim kedua berturut-turut, City disingkirkan oleh Real Madrid yang bangkit meledak gol pada lewat permainan untuk mengikat agregat sebelum sepakan penalti Karim Benzema pada masa tambahan menghantar Real ke pentas akhir, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Pep Guardiola sekali lagi gagal membawa trofi utama Eropah itu ke Etihad sekalipun pemiliknya sudah melabur berbilion ringgit.

Susulan kekalahan itu, kenyataan lama daripada ejen bekas pemain pasukan itu, Yaya Toure kembali hangat diperkatakan.

Selepas pemain tengah itu meninggalkan City pada 2018, ejen Toure, Dmitri Seluk mengeluarkan kenyataan pelik berkaitan pawang dan sumpahan yang akan menghalang City daripada menggondol Liga Juara-Juara.

"Tuhan melihat segalanya. Sebagai wakil kepada Yaya yang juga legenda pasukan tetapi dia tidak diberi peluang untuk turun beraksi.

"Dia membuatkan seluruh Afrika berpaling daripadanya dan ramai penyokong Afrika turut berpaling dari Manchester City.

"Saya yakin ramai pawang Afrika pada masa depan tidak akan membenarkan Guardiola memenangi Liga Juara-Juara.

"Guardiola ibarat terkena sumpahan Afrika. Masa akan menentukan sama ada saya benar ataupun tidak," kata Seluk.

Setakat ini, sumpahan itu benar-benar terjadi. -AGENSI

Berita Harian X