Selasa, 3 Mei 2022 | 10:17pm
Ketua jurulatih skuad B-23kebangsaan, Brad Maloney (empat dari kanan) ketika melatih skuadnya di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya hari ini sebagai persiapan akhir sebelum ke Sukan SEA Hanoi esok. - Foto ihsan FB FAM.
Ketua jurulatih skuad B-23kebangsaan, Brad Maloney (empat dari kanan) ketika melatih skuadnya di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya hari ini sebagai persiapan akhir sebelum ke Sukan SEA Hanoi esok. - Foto ihsan FB FAM.

Maloney bawa 24 pemain ke Sukan SEA Hanoi

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, Brad Maloney akan membawa 24 pemain ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam bermula Jumaat hingga 22 Mei ini.

Antara yang berada dalam senarai itu adalah dua penyerang muda yang beraksi di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Bagaimanapun, daripada 24 pemain itu, Maloney akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain untuk didaftarkan bagi Sukan SEA 2021 pada Jumaat ini iaitu sehari sebelum saingan Kumpulan B bermula.

Empat pemain yang tiada dalam senarai akhir 20 pemain itu nanti akan terus kekal berada di Hanoi sebagai senarai bersedia bagi menggantikan mana-mana pemain yang terpaksa digugurkan jika diuji positif COVID-19 sepanjang saingan berlangsung.

Bagi Kumpulan B, Malaysia akan memulakan kempen berdepan Thailand, Sabtu ini sebelum menentang Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) dengan semua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Sementara itu, saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah yang juga juara bertahan, Vietnam bersama Indonesia, Myanmar, Filipina dan Timor-Leste pula dijadual berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan seterusnya akan layak ke separuh akhir pada 19 Mei di Stadium Thien Truong dan Stadium Viet Tri manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan final dijadual berlangsung pada 22 Mei di Stadium My Dinh, Hanoi.

Berikut adalah senarai lengkap 24 pemain ke Sukan SEA Hanoi:

Mereka adallah Mukhairi Ajmal Mahadi, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Azrin Afiq Rusmini, Quentin Cheng, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Danial Asri, Syahir Bashah, Faiz Amer Runnizar dan Fahmi Daniel Zaaim.

Selain itu Nik Akif Syahiran Nik Mat, Azam Azmi Murad, Syafik Ismail, Hairiey Hakim Mamat, Rahadiazli Rahalim, Nur Azfar Fikri Azhar, Safwan Mazlan, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Shafi Azswad Sapari, Azri Ab Ghani, Luqman Hakim Shamsudin, Aiman Afif Md Afizul, Ubaidullah Shamsul Fazili, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Berita Harian X