Selasa, 3 Mei 2022 | 6:29pm
Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi EPL menentang Brentford di Old Trafford, semalam. United menang 3-0. - Foto REUTERS.
Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi EPL menentang Brentford di Old Trafford, semalam. United menang 3-0. - Foto REUTERS.

Rangnick gesa United kekal Ronaldo, ikat dua penyerang

LONDON: Ralf Rangnick menggesa Manchester United untuk menandatangani dua penyerang pada musim panas ini, namun menasihatkan pengurus baharu Erik ten Hag untuk mengekalkan Cristiano Ronaldo.

Ronaldo mempamerkan persembahan sebagai pemain terbaik perlawanan dan menjaringkan gol ke-24 musim ini ketika menentang Brentford, semalam.

Rangnick percaya United perlu memperkuatkan bahagian serangan apabila bos baharu, Ten Hag tiba dari Ajax musim panas ini, tetapi berpendapat Ronaldo, 37, harus menamatkan tahun kedua kontraknya.

"Bukan sahaja kerana dia menjaringkan gol, dia juga memenangi penalti dan membantu pertahanan. Kenapa dia tidak perlu menjadi sebahagian daripada skuad dan membantu pasukan?," kata Rangnick.

"Tetapi ia adalah soalan yang anda perlu tanya Erik dan juga Cristiano. Dia bukan penyerang tengah. Dia tidak mahu bermain di posisi itu tetapi jika dilihat bola sepak antarabangsa tidak banyak pasukan yang bermain dengan dua penyerang.

"Bagi saya, ia adalah persoalan mengenai apa yang dimiliki pemain Manchester United pada masa hadapan. Jelas sekali United memerlukan dua lagi penyerang berkualiti.

"Penyerang moden tidak semestinya menjadi penyerang. Liverpool atau Manchester City mempunyai lima atau enam penyerang berkelas tinggi.

"Jika anda tanya saya sama ada Gabriel Jesus atau Jack Grealish adalah pemain sayap atau penyerang, mereka semua boleh bermain di sana."

Rangnick mengendalikan perlawanan terakhirnya di laman sendiri sebelum diserahkan kepada Ten Hag. Dia akan memainkan peranan sebagai perunding di Old Trafford serta mengambil alih sebagai jurulatih Austria.

- AGENSI

Berita Harian X