Sabtu, 30 April 2022 | 5:11pm
Pengendali Penang FC, Tomas Trucha. - Foto NSTP.
Pengendali Penang FC, Tomas Trucha. - Foto NSTP.

Atas faktor keselamatan Trucha dinasihatkan cuti rehat

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha dinasihatkan supaya mengambil cuti rehat atas sebab keselamatan, kata kenyataan kelab berkenaan hari ini.

Kenyataan itu berkata langkah berkenaan diambil selepas mengambil kira nasihat polis berdasarkan bentuk kecenderungan kemarahan penyokong yang dikhuatiri boleh mendorong tindakan bersifat khianat jenayah daripada mana-mana individu kurang bijaksana dalam membuat apa-apa pertimbangan.

"Beliau bukan direhatkan atau dalam proses diambil tindakan disiplin, namun hanya dalam proses perundingan penyelesaian yang adil serta ihsan yang membabitkan semua pihak berkepentingan.

"Pihak berkepentingan termasuk kepentingan penyokong Penang FC yang banyak mengeluarkan duit poket sendiri untuk datang ke stadium tempat sendiri dan stadium pihak lawan.

"Pemegang kad bermusim dan ribuan pengguna merchandise Penang FC yang ada hak mereka untuk dilindungi sebagai 'pelabur' secara tidak langsung dalam pengukuhan dana syarikat (kelab)," kata kenyataan Penang FC menerusi akaun Facebook miliknya.

Selain itu, Penang FC turut menjelaskan sistem gaji yang dibentuk kelab itu pada Mei tahun lalu bukan sahaja membolehkan pembayaran gaji dibuat secara teratur, malah proses pembayaran gaji seawal 25 hari bulan.

Jelasnya, jika ada kelewatan sekali pun, ia hanya disebabkan had pengeluaran sehari yang ditetapkan oleh pihak bank untuk membolehkan pelepasan secara 'bulk' dibuat berperingkat.

"Pengurusan kewangan kelab juga membabitkan perbelanjaan yang efektif untuk pelbagai perkara sampingan berhubung perlindungan insuran semua warga kelab, kos penganjuran perlawanan di laman sendiri dan pelbagai aktiviti perolehan yang berintegriti," katanya.

Berita Harian X