KUALA LUMPUR: Terengganu FC II (TFC II) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar terikat tanpa jaringan pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.
Skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang turun dengan misi meneruskan rentak kemenangan bermula garang apabila mendapat peluang terbaik untuk mendahului menerusi rembatan pemain tengah, Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ketujuh namun tersasar.
Lima minit berselang, skuad pelawat kendalian Rusdi Suparman juga mendapat peluang keemasan untuk mendahului menerusi Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan selepas mendapat umpanan Fakrul Fareez Aidi, namun penjaga gol, Mohamad Shafawi Mohamad lebih pantas menghalang percubaan itu.
Pada minit ke-20, penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal mencetak nama sebagai penjaring walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang lebih pantas menyambar bola.
Pelawat sekali lagi mendapat peluang terbaik untuk mendahului pada minit ke-33 menerusi George Attram, tapi percubaan pemain kelahiran Ghana itu sedikit melepasi palang sekali gus terselamat pintu gol The Turtles.