Sabtu, 23 April 2022 | 12:24pm
Arsenal dan Manchester United akan membuat perhitungan pada aksi EPL di Stadium Emirates, malam ini. Foto ihsan Football.London.
Arsenal dan Manchester United akan membuat perhitungan pada aksi EPL di Stadium Emirates, malam ini. Foto ihsan Football.London.

Giliran Gunners jadikan Red Devils 'lauk'?

Selepas spekulasi mengenainya tersebar sejak beberapa minggu lalu, Manchester United akhirnya kelmarin mengesahkan Erik ten Haq akan membimbing kelab itu pada musim depan. Pengendali Ajax itu, mengikat kontrak selama tiga tahun.

Jurulatih dari Belanda berusia 52 tahun itu menjadi pengurus tetap kelima di Old Trafford sejak Alex Ferguson bersara pada 2013 yang kemudian menyaksikan juara sebanyak 20 kali saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengalami penurunan mengejutkan.

Ketika ini Ten Hag dalam landasan terbaik untuk menang gelaran liga Eredivise ketiga bersama Ajax . Pada 2019, dia mencipta sensasi apabila membawa kelab Belanda itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara iaitu pertama kali dalam tempoh 22 tahun.

Perkembangan itu sudah tentu memberi dimensi baharu kepada United yang bakal berkunjung ke London, bertemu Arsenal awal malam ini - pertembungan diharap menyebelahi mereka untuk menghidupkan terus peluang ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Ya, pertembungan dua gergasi EPL ini adalah aksi tumpuan bagi minggu ini yang bakal menentukan nasib kedua-dua pasukan berkenaan di pentas Eropah. Baik United atau Arsenal, kedua-duanya amat memerlukan kemenangan dalam aksi Stadium Emirates ini.

Ketika ini, Arsenal berada di tangga kelima liga dengan himpunan 57 mata selepas 32 aksi, menyamai jumlah mata dikumpul dan perlawanan dilalui Tottenham yang menghuni tangga keempat. United pula ditempat keenam dengan 54 mata menerusi 33 aksi, ketinggalan tiga mata.

Dalam aksi terakhir liga pada Khamis, Arsenal mengaibkan Chelsea 4-2 manakala United pula sehari sebelum itu menjadi 'lauk' Liverpool yang ketika ini menghuni tangga kedua, dengan jaringan 4-0.

Tanpa kelibat Cristiano Ronaldo akibat kematian anak lelaki, Red Devils terlalu rapuh di Anfield.

Bersandarkan prestasi semasa ini selain beraksi di laman sendiri, Gunners jelas dilihat memiliki kelebihan untuk meraih tiga mata. Dengan kedudukan Ronaldo masih menjadi teka teki selain prestasi United kekal meragukan, tidak hairan jika skuad Ralf Rangnick jadi `lauk' The Gunners pula malam ini.

Pun begitu, realitinya, Arsenal bukan saja perlu menang aksi ini untuk menekan Tottenham, malah Chelsea yang berada di tangga ketiga ketika ini dengan himpunan 62 mata selepas 31 aksi. Tiga mata diraih, akan membuka dua slot ke Eropah untuk jadi rebutan sehingga penghujung musim.

Ya, seperti juga skuad Mikel Arteta, Spurs dan The Blues bakal berdepan aksi sukar minggu ini. Skuad Antonio Conte berkunjung ke laman Brentford, pasukan yang melakukan beberapa kejutan sebelum ini, tengah malam ini, manakala anak buah Thomas Tuchel menyambut kunjungan pasukan yang layak ke separuh akhir Liga Europa dan kini tangga ketujuh liga, West Ham lewat malam esok.

Sementara itu, Manchester City yang terus menguasai liga dengan kelebihan satu mata ke atas Liverpool selepas mengatasi Brighton 3-0 pada pertengahan minggu, dijangka tiada masalah mengenepikan Watford malam ini untuk terus mengukuhkan kedudukan.

Skuad Jurgen Klopp pula mungkin berdepan tentangan sengit dalam aksi `tetangga Merseyside' berdepan Everton lewat malam esok tapi tetap mampu dapat mata penuh. The Toffees amat memerlukan kemenangan aksi ini untuk mengelak dari terjerumus ke zon penyingkiran. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Arsenal 3-1 Man United

Leicester 2-2 Aston Villa

Man City 5-0 Watford

Norwich 1-3 Newcastle

Brentford 1-1 Tottenham

Burnley 2-2 Wolves

Chelsea 2-1 West Ham

Brighton 0-0 Southampton

Liverpool 4-1 Everton

Berita Harian X