KUALA LUMPUR: Bukan setakat bertembung pasukan Liga Super di pusingan pertama, Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan (NSFC) yang masih lagi berpeluang merebut tiket ke pusingan kedua Piala FA, terus berdepan ranjau berliku.
Ini kerana pemenang antara aksi itu akan bertemu dengan juara bertahan, Kedah Darul Aman FC di pusingan kedua selepas selesai majlis undian yang dijalankan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) secara dalam talian, hari ini.
Malah, pusingan kedua bakal menyajikan pertarungan yang sengit terutamanya selepas beberapa pasukan Liga Super akan berentap sesama sendiri dan lebih menarik, mereka sudah pun bertemu dalam Liga Super pada musim ini.
Antaranya aksi tetangga Lembah Klang antara Selangor FC dan KL City FC serta juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan naib juara Liga Perdana musim lalu, Sarawak United FC.
Melaka United FC pula akan melayan kunjungan, PJ City FC dengan pertembungan di Liga Super sebelum ini memihak kepada skuad Phoenix.
Namun, beberapa undian dilihat berpihak kepada pasukan Liga Super apabila menentang pasukan di divisyen lebih rendah sekali gus menyaksikan mereka bakal tampil sebagai pilihan untuk lolos ke pusingan seterusnya.
Sri Pahang FC akan berdepan Skuad Projek FAM-MSN manakala Sabah FC akan menentang Kelantan United. Penang FC pula bakal menerima cabaran daripada naib juara 2019, Perak FC.
Wakil tunggal dari Liga M3, Perlis United yang sebelum ini menyingkirkan pasukan Liga Perdana, PDRM FC mengintai peluang untuk mencipta kejutan seterusnya apabila diundi bertemu satu lagi pasukan Liga Perdana, Kuching City FC.
Undian pusingan kedua:
Sabah FC mln Kelantan United
Terengganu FC/ Negeri Sembilan FC mln Kedah Darul Aman FC
Melaka Utd mln PJ City FC
Selangor FC mln KL City FC
JDT mln Sarawak United
Perlis United mln Kuching City FC
Perak FC mln Penang FC
Sri Pahang FC mln Skuad Projek FAM-MSN