Isnin, 18 April 2022 | 12:04am
Pemain JDT II meraikan jaringan ketika menentang Kuching City pada aksi Liga Perdana. - Foto FB JDT
Pemain JDT II meraikan jaringan ketika menentang Kuching City pada aksi Liga Perdana. - Foto FB JDT

JDT II 'baham' Kuching City

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) terus mengekori Kelantan FC selepas berjaya menewaskan Kuching City 3-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi.

Walaupun skuad bimbingan Raul Mariano mengumpul 12 mata dan menyamai pungutan mata skuad The Red Warriors tetapi masih kekal di tangga kedua kerana perbezaan jaringan.

Tuan rumah melakukan percubaan awal pada minit kesembilan menerusi bola rembatan Daryl Sham K George di luar kotak penalti tetapi penjaga gol pelawat Wan Muhammad Azraie Wan Teh sempat merebahkan badan untuk menangkap kemas.

Gerakan yang dimulakan Umar Hakeem Suhari Rezwan di posisi sayap kiri pada minit ke-18 dan bertindak melintang bola tepat kepada kapten Fernando Rodriguez yang menanduk bola menewaskan Wan Muhammad Azraie untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, anak didik Irfan Bakti Abu Salim mula menggandakan asakan dalam usaha memburu gol penyamaan namun benteng yang diterajui Adam Nor Azlin dan Feroz Baharuddin beraksi tenang mematahkan serangan yang dilakukan Abu Kamara.

Berpunca daripada bola sepakan percuma Maranon pada minit ke-53 menyaksikan Adam pantas menyusup masuk dicelah benteng pelawat sebelum menanduk bola menewaskan Wan Muhammad Azraie untuk meletak kedudukan 2-0 memihak tuan rumah.

Namun skuad yang bergelar The Cats berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-60 selepas bola sepakan percuma Mohamad Alif Hassan dari jarak 30 meter melencong masuk ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, T Shaheeswaran.

Moussa Sidibe mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-67 apabila mudah memperdayakan Wan Muhammad Azraie dengan menyepak bola ke gawang yang terbuka luas selepas menerima bola umpanan Maranon untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 3-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X