Ahad, 17 April 2022 | 12:17am
Aksi Sri Pahang (jersi kuning) ketika bertemu Melaka United di Stadium Darul Makmur malam tadi. Melaka menang 2-1. - Foto ihsan FB Sri Pahang CF.
Aksi Sri Pahang (jersi kuning) ketika bertemu Melaka United di Stadium Darul Makmur malam tadi. Melaka menang 2-1. - Foto ihsan FB Sri Pahang CF.

Melaka United kejutkan Tok Gajah

KUANTAN: Melaka United FC melakukan kejutan di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi, selepas menjinakkan Sri Pahang FC 2-1 dalam saingan Liga Super.

Namun begitu, perlawanan berkenaan bermula dengan jaringan pendahuluan tuan rumah menerusi penyerang import, Mahmoud Za'tara hasil sepakan penalti pada minit keempat.

Gol itu diperolehi selepas pemain import Sri Pahang, Manuel Hidalgo dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak dan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti.

Sebaik mendahului 1-0, Sri Pahang dilihat gagal memberi tekanan, sebaliknya Melaka United pula yang beraksi lebih bagus dalam usaha mencari gol penyamaan.

Peluang terbaik lawan hadir menerusi Emmanuel Essigba tetapi bola tandukan pemain tengah itu sedikit melepasi palang pada minit ke-39.

Seminit sebelum berakhir separuh masa pertama, Billy Ketkeophomphone hampir menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah namun bola rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri penjaga gol Melaka United, Tian Keat See.

Lima minit bersambung babak kedua, Essigba yang terlepas menjaringkan gol penyamaan berjaya menebusnya selepas menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mamadou Samassa.

Pada minit ke-70, Samassa tewas buat kali kedua selepas rembatan pemain gantian, Mohamad Hasbullah Abu Bakar dari luar kotak penalti membolosi gawang tuan rumah.

Ketinggalan 1-2, Sri Pahang cuba bangkit untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi dinafikan pertahanan kental pemain lawan.

Bagi Melaka United, kemenangan itu cukup bermakna ketika dibimbing sementara oleh Mohd Asri Ninggal manakala kekalahan kedua dialami Sri Pahang selepas tiga perlawanan.

Berita Harian X