Sabtu, 16 April 2022 | 12:33pm
Arsenal dan Tottenham kini berpeluang merapati Chelsea selepas bekas juara Eropah itu tidak beraksi minggu ini. - Foto ihsan Premium Timers
Arsenal dan Tottenham kini berpeluang merapati Chelsea selepas bekas juara Eropah itu tidak beraksi minggu ini. - Foto ihsan Premium Timers

Peluang Tottenham, Arsenal tekan Chelsea

KOLUM APA KATA EPL

Minggu ini, dua pasukan teratas liga, Manchester City dan Liverpool tidak akan turun berentap. Sebaliknya, calon-calon juara itu akan membuat perhitungan pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, malam ini.

Kedudukan mereka bagaimanapun tidak akan terjejas sama sekali, biarpun enam perlawanan akan berlangsung hujung minggu ini. Minggu lalu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi hebat di Etihad, sekali gus mengekalkan City dengan kelebihan satu mata di persada liga.

Selepas 31 aksi, City menghimpun 74 mata, manakala Liverpool 73 dengan saingan berbaki tujuh lagi. Motivasi kedua-dua pasukan ini untuk memenangi baki aksi sudah pasti membara selepas masing-masing layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Tempat ketiga liga ketika ini milik Chelsea dengan 62 mata, namun skuad Thomas Tuchel itu juga tidak beraksi minggu ini. Justeru, tumpuan sudah pasti terarah kepada perlawanan kelab di tangga keempat, Tottenham Hostpur dan Arsenal (kelima).

Ketika ini skuad Antonio Conte menghimpunkan 57 mata selepas 31 aksi manakala The Gunners, 54 mata menerusi 30 perlawanan. Minggu ini Spurs akan melayan kunjungan pasukan pertengahan liga, Brighton dan seharusnya tiada masalah mengutip mata penuh.

Dalam empat aksi terakhir di laman sendiri, mereka berjaya mencatat kemenangan. Minggu lalu, mereka menang besar ke atas Aston Villa di Villa Park, 4-0 dan prestasi cemerlang itu dijangka berterusan untuk memastikan posisi tempat keempat kekal milik mereka.

Cuma Spurs perlu waspada kerana minggu lalu, Brighton mengejutkan Arsenal 2-1 di Emirates.

Tiga mata dalam genggaman akan merapatkan kedudukan dengan Chelsea selepas hanya ketinggalan dua mata, meskipun sudah beraksi lebih dua perlawanan. Ini sudah pasti menekan The Blues yang terdahulu kecewa selepas tewas kepada Real Madrid aksi Liga Juara-Juara.

Skuad Mikel Arteta pula harus bangkit segera minggu ini dan pertemuan dengan Southampton di laman lawannya itu harus menjadi milik mereka, jika tidak mahu tercicir peluang ke Liga Juara-Juara.

West Ham dalam pada itu menduduki tangga keenam liga dengan himpunan 51 mata, sama jumlah dikumpulkan Manchester United di tempat ketujuh. Kedua-dua pasukan ini masih juga memiliki peluang memburu tempat keempat liga.

The Hammers yang mencipta sensasi apabila layak ke separuh akhir Liga Europa selepas mengenepikan kelab Perancis, Lyon dengan agregat 4-1 selepas menang 3-0, kelmarin, akan melayan Burnley esok, manakala United menyambut kelab tercorot liga, Norwich malam ini.

Kedua-duanya tiada pilihan, kecuali memenangi aksi itu sambil berharap Tottenham dan Arsenal tercicir mata. Bagi United terutamanya, kemenangan juga sudah pasti menjadi azimat kepada mereka, apabila bertandang ke Anfield bertemu Liverpool, Rabu ini. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Tottenham 3-0 Brighton

Man United 1-0 Norwich

Watford 0-2 Brentford

Southampton 2-2 Arsenal

Newcastle 1-1 Leicester

West Ham 3-0 Burnley

Berita Harian X