Rabu, 13 April 2022 | 7:10am
Ten Hag ditawar kontrak tiga tahun kendali Man United.
Ten Hag ditawar kontrak tiga tahun kendali Man United.

Ten Hag pilih United, tolak tawaran 'gila' Leipzig

LONDON: Erik ten Hag semakin hampir bergelar pengurus baharu Manchester United.

Dia secara lisan bersetuju dengan rangka kerja perjanjian awal pagi tadi selepas RB Leipzig menawarkan jurulatih berusia 52 tahun itu tawaran 'gila' pada hujung minggu.

United membalas dengan menawarkan Ten Hag kontrak tiga tahun termasuk pilihan menyambungnya hingga tahun keempat.

Pencarian pengganti kekal kepada Ole Gunnar Solskjaer — yang dipecat pada November — berlarutan hingga dua bulan.

Jurulatih Paris Saint-Germain, Mauricio Pochettino; pengurus Sepanyol, Luis Enrique dan pengendali Sevilla, Julen Lopetegui semuanya tersenarai.

Namun, United bersedia menamatkannya bersama Ten Hag, yang sedang cuba menang gelaran ketiga Belanda bersama Ajax musim ini.

Pengurusan tertinggi United akan menemui rakan sejawatan Ajax beberapa hari lagi untuk perjanjian formal termasuk pampasan sekitar £1.7 juta (RM9.36 juta).

Mitchell van der Gaag yang juga bekas pemain tengah Motherwell serta pembantu Ten Hag di Ajax sudah bersedia mengikut bosnya itu ke Old Trafford.

Robin van Persie juga dikaitkan dengan peranan di kelab lamanya namun ada masalah membabitkan isu permit kerja. - AGENSI

Berita Harian X