Isnin, 11 April 2022 | 6:17pm
Pemain Selangor FC, Herlison Caion De Souza Ferreira (empat kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium MBPJ, semalam. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Pemain Selangor FC, Herlison Caion De Souza Ferreira (empat kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika aksi Liga Super menentang Kedah di Stadium MBPJ, semalam. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Feichtenbeiner puji prestasi cemerlang Selangor, Caion

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner memberikan 'anugerah' pemain terbaik perlawanan kepada seluruh skuad The Red Giants selepas pasukannya meraih kemenangan 4-1 ke atas Kedah Darul Aman FC, semalam.

Pengendali dari Jerman itu bagaimanapun tetap memuji penyerang, Herlison Caion yang meledak dua gol buat Selangor pada perlawanan itu, sekali gus meraih kemenangan sulung musim ini.

"Saya gembira dengan dia (Caion), tapi hari ini, bagi saya seluruh pasukan adalah pemain terbaik perlawanan dan dia jaringkan banyak gol kami.

"Bukan senang di Selangor tahun ini untuk menggantikan Ifedayo Olusegun, tapi setakat ini dia melakukan tugas dengan baik. Saya sangat menaruh keyakinan terhadap Caion," katanya.

Caion menjadi menjadi mesin gol buat Selangor musim ini selepas The Red Giants kehilangan penyerang berbisa mereka, Ifedayo yang berhijrah ke Melaka United FC.

Penyerang dari Brazil itu sudah meledak lima gol bersama Selangor dalam Liga Super musim ini termasuk dua gol ketika berdepan Kedah.

Dia berada di kedudukan kedua carta penjaring terbanyak Liga Super ketika ini dengan Bergson Da Silva dari Johor Darul Ta'zim (JDT) berada di tangga teratas dengan tujuh gol.

Bagi Selangor, menundukkan Kedah menjadi kejayaan manis buat mereka selepas hanya meraih keputusan seri dalam dua perlawanan awal liga berdepan KL City dan Negeri Sembilan, sebelum ini.

Kemenangan itu juga meletakkan mereka di kedudukan kelima dengan mengumpul lima mata selepas mengharungi tiga perlawanan.

Berita Harian X