Isnin, 11 April 2022 | 3:16pm
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kanan) cuba menghalang pemain TFC, Muhammad Syafik Ismail (kiri) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam. JDT menang 2-1. - Foto BERNAMA.
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (kanan) cuba menghalang pemain TFC, Muhammad Syafik Ismail (kiri) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam. JDT menang 2-1. - Foto BERNAMA.

Tewas tapi Nafuzi tetap bangga dengan skuadnya

JOHOR BAHRU: Walaupun gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap bangga dengan persembahan barisan pemainnya yang mampu mengimbangi kekuatan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu berputih mata selepas tewas 1-2 kepada skuad bimbingan Benjamin Mora. Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut selepas pasukan itu tumpas 0-3 kepada PJ City FC baru-baru ini.

Malah Nafuzi jelas berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang 90 minit perlawanan tapi masih terasa kesedihan akibat gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

"JDT bukan menang dengan mudah pada perlawanan itu, sebaliknya kami mampu beri tekanan dan mereka tampak panik untuk mengemudi benteng pertahanan. Hanya nasib tidak menyebelahi kami apabila gagal melakar kemenangan atau keputusan seri.

"Di awal permainan, pemain saya tertekan dan menyebabkan mereka melakukan kesilapan sehingga memudahkan JDT menjaringkan dua gol walaupun kami berjaya mengikat keputusan 1-1 tapi mereka pantas menghasilkan gol kedua.

"Kami mampu mencipta beberapa peluang berbahaya dan mengundang cemas gawang JDT terutama bola rembatan deras Kpah Sherman pada lima minit sebelum tamat babak pertama tapi terkena palang gol dan situasi itu agak menjejaskan semangat pemain," katanya.

Nafuzi juga mengakui taktikal permainan yang diterapkan pada aksi menentang JDT berbeza berbanding aksi menentang PJ City FC apabila terpaksa mengetepikan Kipre Tchetche dengan membawa masuk Petrus Shitembi bagi menguatkan posisi tengah memandangkan skuad bimbingan Mora begitu ampuh di posisi berkenaan.

Malah pengendali itu tidak menolak prestasi TFC tampak terjejas tatkala `berehat' daripada aksi kompetitif hampir tiga bulan selepas dua perlawanan liga terpaksa ditangguhkan akibat kes pandemik COVID-19.

"Penundaan dua perlawanan itu memberi kesan terhadap konsentrasi pemain tapi pada aksi menentang JDT, pemain mula beri impak positif dalam permainan dan ia beri kelegaan kepada saya tatkala pemain mula tunjuk momentum permainan sebenar.

Berita Harian X