PARIS: Pemilik Paris Saint-Germain kini dikatakan sudah mula bosan dengan sikap bintang Brazil Neymar yang dilihat lebih memilih Paris berbanding PSG.
Pemilik dari Qatar itu berasa tertipu dengan persembahan hambar penyerang berkenaan di atas padang dan muak melihat gelagat kehidupan mewahnya di luar padang.
Mereka beranggapan Neymar lebih mementingkan Paris berbanding PSG dan pemegang taruh kelab ibu kota Perancis itu mula hilang sabar selepas pelaburan ke atas pemain itu sejak lima tahun lalu dilihat tidak berbaloi.
Penyokong turut kecewa selepas pasukan Ligue 1 itu tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid dalam kelompok 16 terakhir.
Beberapa hari selepas kekalahan itu, Neymar dan pemenang tujuh kali Ballon d'Or Lionel Messi diejek peminat ketika kemenangan 3-0 PSG ke atas Bordeaux.
Bagaiamanapun Neymar kembali mempamerkan prestasi sebenarnya di atas padang dengan meledak hatrik bersama Kylian Mbappe dalam kemenangan 6-1 ke atas Clermont awal pagi tadi.
Mbappe, yang masih belum memutuskan sama ada mahu terus kekal di PSG musim depan, kini mendahului senarai penjaring Ligue 1 dengan 20 gol musim ini.
PSG kendalian Mauricio Pochettino kini mendahului liga dengan kelebihan 15 mata ke atas pesaing terdekar Rennes dan semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan dengan hanya tujuh perlawanan berbaki. - AGENSI