Khamis, 7 April 2022 | 4:40pm
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi diasak pemain KL City, J Partiban (kanan) pada perlawanan Liga Super malam tadi. - FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi diasak pemain KL City, J Partiban (kanan) pada perlawanan Liga Super malam tadi. - FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

Mora tak teruja lebur rekod KL City

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat meraih kejayaan berganda selepas membenam KL City FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Mana tidaknya, bukan setakat meraih mata penuh untuk terus kekal di persada liga malah skuad Harimau Selatan turut menamatkan rekod tanpa kalah KL City FC dalam 23 perlawanan di laman sendiri.

Namun pengendalinya, Benjamin Mora menegaskan dia tidak begitu memikirkan mengenai rekod memandangkan rekod dalam bola sepak sememangnya 'dihimpunkan' untuk dipecahkan oleh mana-mana pasukan.

Katanya, misi yang lebih penting buat pasukan itu adalah terus konsisten untuk mengutip tiga mata dalam setiap perlawanan yang diharungi mereka pada musim ini.

"Saya tidak kisah mengenai rekod kerana sejarah ataupun rekod tidak memberikan anda mata, kemenangan ataupun trofi. (Apa) yang memberikan anda piala dan keseimbangan adalah menang tiga mata pada setiap minggu.

"Sudah tentu ia satu perkara yang baik untuk memecahkan rekod tanpa kalah tetapi itu tidak penting buat saya. Kita tidak memikirkan untuk memecahkan apa-apa rekod ataupun cuba menghalang KL City FC daripada meneruskan rekod mereka.

"Kita hanya mahu berikan yang terbaik dan mendapatkan tiga mata. Kita datang ke sini untuk tiga mata dan ada lagi perkara yang boleh diperbaiki," kata Mora.

Mengulas mengenai aksi terbabit, Mora mengakui anak buahnya memperagakan gaya dan corak permainan yang lebih baik sekalipun skuad 'Warga Kota' tampil dengan corak permainan agresif yang menyaksikan kad kuning dan kad merah terpaksa dilayangkan.

"Saya tidak ada komen mengenai cara permainan lawan. Kita kenal pasukan lawan dan kita tahu bagaimana mereka akan menentang kita serta cara mereka membendung kita.

"Itu adalah cara dan gaya permainan mereka dan kita pun ada gaya permainan tersendiri. Gaya permainan kita lebih baik pada malam ini," katanya.

Berita Harian X