Rabu, 6 April 2022 | 10:55pm
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yusriati Mohd Yunos (dua, kiri) yang merupakan balu kepada bekas pemain dan jurulatih pasukan Melaka United bawah 14 tahun, Mohd Azizan Baba yang meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser paha kiri, ketika Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumahnya hari ini. - Foto Bernama
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Yusriati Mohd Yunos (dua, kiri) yang merupakan balu kepada bekas pemain dan jurulatih pasukan Melaka United bawah 14 tahun, Mohd Azizan Baba yang meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser paha kiri, ketika Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumahnya hari ini. - Foto Bernama

Keluarga Azizan terima pencen bulanan

MELAKA: Keluarga bekas pemain kebangsaan dan Melaka, Allahyarham Azizan Baba menerima faedah Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM867.30 sebulan.

Bayaran pencen bulanan itu akan dibayar kepada balu arwah sepanjang hayat dan kepada anak-anaknya sehingga berumur 21 tahun.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyampaikan sumbangan berkenaan selain Faedah Pengurusan Mayat PERKESO berjumlah RM2,000 kepada Yusriati Mohd Yunos yang juga isteri Allahyarham.

Hadir sama Pengarah PERKESO Melaka, Abd Razak Omar sambil disaksikan lapan anak Allahyarham yang masing-masing berusia dua hingga 15 tahun di rumahnya di Kampung Bakar Batu, Bachang di sini hari ini.

Sulaiman berkata, pemergian arwah yang juga bekas pengendali Kelab SAMB FC dan Melaka United Bawah 14 tahun itu jelas satu kehilangan besar dalam dunia sukan negara.

"Pemergiannya sudah pasti dirasai semua peminat bola sepak Melaka, malah saya secara peribadi turut mengenali arwah yang juga orang lama dalam bola sepak di negeri Melaka.

"Di pihak kerajaan negeri, kita sedia membantu walau apa jua yang diperlukan. Saya difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah menguruskan borang permohonan bagi bantuan-bantuan lain. Malah jika ada keperluan lain untuk anak-anak arwah, kerajaan negeri melalui agensi juga sedia membantu dari segi program anak angkat dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat kanser 22 Mac lalu ketika berusia 40 tahun namun beliau tidak dapat menziarahi pengebumian kerana menjalani kuarantin pada tarikh berkenaan.

Allahyarham pernah mewakili Perak, Kuala Lumpur, Johor FC, Sarawak dan Pulau Pinang (2014) sebelum kembali ke pangkuan Melaka pada musim 2015 dan membawa pasukan Hang Tuah muncul juara Liga FAM.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pemain Piala Belia dan Piala Presiden sejak 1996 dan seterusnya bersama pasukan Melaka sebelum berhijrah.

Berita Harian X