Rabu, 6 April 2022 | 12:05am
Pemain Negeri Sembilan FC, Mohamad Izzuddin Mohd Roslan (tengah) diasak pemain Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. NSTP/AZRUL EDHAM
Pemain Negeri Sembilan FC, Mohamad Izzuddin Mohd Roslan (tengah) diasak pemain Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. NSTP/AZRUL EDHAM

NSFC terikat dengan Selangor di Paroi

SEREMBAN: Hasrat Negeri Sembilan FC ( NSFC) untuk meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian apabila seri 2-2 dengan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Biarpun pasukan pelawat beraksi dengan 10 pemain selepas Yazan Mousa Mahmoud diperintah keluar padang apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil Hamdan Awang pada minit ke-22 kerana mengkasari Matheus Alves, namun ia tidak diambil kesempatan pasukan tuan rumah.

Bermula dari minit awal perlawanan, rentak skuad Hobin Jang Hobin serba tidak menjadi apabila gerakan yang cuba dicipta untuk mendapatkan gol mudah dipatahkan bahagian pertahanan Selangor.

Anak buah Michael Feichtenbeiner mendapat gol saguhati menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan Negeri Sembilan, Nasrullah Hanif Johan yang tertampan bola hantaran lintang De Souza Ferreira ke dalam gawang pada minit ke-34.

Bersambung babak kedua, Selangor terus bertindak agresif dengan melakukan serangan dan hasilnya mereka mendapat sepakan penalti selepas pertahanan Negeri Sembilan menjatuhkan Mohamad Shahrel Fikri pada minit ke-49.

De Sauza Ferreeira yang mengambil sepakan mudah menewaskan Syihan Hazmi untuk Selangor mendahului 2-0.

Tuan rumah bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke- 57, selepas pemain gantian Kossi Adetu dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain pertahanan, Herold Mark Goulon mudah mengambil sepakan menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Kossi Adetu kemudian mencetak nama sebagai penjaring menerusi gol penyamaan Negeri Sembilan pada minit ke-75.

Usaha kedua- dua pasukan untuk menambah jaringan buntu dan kedudukan 2-2 kekal sehingga ke wisel penamat.

Berita Harian X