Isnin, 4 April 2022 | 8:39pm
Aksi Malaysia (jersi kuning) ketika bertemu Indonesia pada Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok, hari ini. Malaysia tewas 5-1. - Foto ihsan FB FAM.
Aksi Malaysia (jersi kuning) ketika bertemu Indonesia pada Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok, hari ini. Malaysia tewas 5-1. - Foto ihsan FB FAM.

Malaysia tunduk kepada Indonesia aksi futsal AFF

KUALA LUMPUR: Peluang skuad futsal lelaki negara melangkah ke peringkat separuh akhir kian malap selepas tewas 1-5 di tangan Indonesia dalam aksi Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Bangkok, hari ini.

Pemain Indonesia, Ardiansyah Nur dan Holypaul Septinus Soumilena muncul wira selepas masing-masing menjaringkan dua gol, sekali gus mengecewakan pasukan negara yang dibimbing Chiew Chun Yong.

Di awal babak permainan, kedua-dua pasukan tampak berhati-hati bagi mengelak gawang dibolosi ketika cubaan untuk menjaringkan gol dan keputusan kekal 0-0 di akhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, aksi lebih bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan dengan serangan demi serangan dilakukan, sebelum Soumilena menjaringkan gol pembukaan buat Indonesia pada minit ke-21.

Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd Ridzwan Bakri selang seminit kemudian.

Tidak terhenti di situ, Indonesia menjaringkan gol kedua menerusi Firman Ardiansyah pada minit ke-29 dalam usaha menjarakkan jurang gol dengan skuad negara.

Malaysia terus dihukum apabila Soumilena menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-35 menjadikan kedudukan 3-1.

Indonesia terus garang apabila menghasilkan dua lagi jaringan menerusi Ardiansyah Nur pada minit terakhir perlawanan untuk memuktamadkan kemenangan.

Skuad negara mengutip tiga mata selepas dua perlawanan dan mengharapkan tuah kemenangan menentang Brunei serta tuan rumah, Thailand dalam aksi pelengkap Kumpulan A bagi menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.

Sementara itu di BANGKOK, Chiew berkata skuad negara bermula dengan baik sama ada dari segi pertahanan dan serangan dalam perlawanan menentang Indonesia hari ini.

Bagaimanapun, dalam babak kedua anak-anak buahnya mula hilang tumpuan dan pada masa itulah pihak lawan menggunakan peluang itu untuk mencipta gol.

Menjangkakan perlawanan yang sukar hari ini, beliau berkata skuad negara bermain secara berhati-hati pada separuh masa pertama dan mencari peluang untuk melakukan serangan balas.

"Lima minit terakhir, saya membuat keputusan untuk melakukan serangan secara intensif kerana kami tidak boleh seri perlawanan, kami mesti menang sebelum bertemu Brunei (esok) dan Thailand (Rabu)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Chiew mengakui strategi menyerang yang dilaksanakan tidak begitu tersusun dan mengakibatkan Indonesia menjaringkan dua lagi gol.

"Secara umum, pemain bermain mengikut strategi yang diatur tetapi tidak mencipta peluang yang mencukupi," katanya.

- BERNAMA

- BERNAMA

Berita Harian X