KOLUM APA KATA EPL
Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali semula minggu ini dengan dua pasukan teratas, Manchester City dan Liverpool meneruskan semula perjuangan untuk merebut kejuaraan ketika saingan berbaki sembilan aksi lagi.
City kini berada di puncak liga dengan hanya kelebihan satu mata ke atas Liverpool, hasil himpunan 70 mata, dengan kedua-dua pasukan sudah beraksi 29 perlawanan. Musim lalu, City berjaya menjadi juara dengan hanya berkelebihan satu mata ke atas The Reds.
Adakah situasi itu akan berulang semula musim ini? Yang pasti, titik permulaan awal kepada pemutus kejuaraan dijangka ditentukan pada 10 April ini, apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Etihad bagi aksi ke-31.
Pemenang sudah pasti akan memiliki kelebihan, namun jika keputusan terikat, City sudah pasti kekal jadi pilihan. Kedua-dua kelab gergasi EPL ini juga akan berentap pada saingan separuh akhir Piala FA di Wembley pada 16 April.
Minggu ini, kedua-dua pasukan dilihat berdepan cabaran agak getir, apabila bertemu dengan dua kelab tercorot liga. Skuad Jurgen Klopp menyambut kunjungan penghuni tangga ketiga terbawah, Watford malam ini yang pastinya mahu memburu kemenangan bagi mengelak tersingkir musim depan.
Mungkin Mohamed Salah akan melepas geram pada aksi ini selepas gagal membantu Mesir layak ke Piala Dunia Qatar di pertengahan minggu, ketika Sadio Mane harus lebih teruja ketika negaranya, Senegal layak. Pada aksi playoff itu, Mesir tewas kepada Senegal menerusi penentuan penalti 3-1 selepas kedudukan terikat 1-1 secara agregat.
City pula bertandang ke Burnley iaitu menentang pasukan kedua tercorot. Sebarang kesilapan dalam aksi ini samada babitkan City atau Liverpool, sudah pasti akan menjejaskan peluang mereka bergelar juara musim ini.
Dalam pada itu, Chelsea yang juga juara Eropah kekal berada di tangga ketiga dengan 59 mata, manakala Arsenal keempat, hasil himpunan 54 mata selepas 28 aksi. Tottenham pula di tempat kelima dengan 51 mata selepas 29 perlawanan manakala Manchester United di tempat keenam, hasil himpunan 50 mata selepas 29 aksi juga.
Enam pasukan teratas sedang memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Berdasarkan kedudukan dan pretasi semasa, City, Liverpool dan Chelsea jelas memiliki peluang cerah layak, manakala satu lagi slot menjadi rebutan antara Arsenal, Tottenham dan United.
The Blues akan menyambut kunjungan Brentford malam ini, dan kemenangan akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka. Berdasarkan prestasi semasa, skuad Thomas Tuchel dijangka tiada masalah mengutip mata penuh.
Arsenal pula akan bertandang ke laman Crystal Palace awal pagi Selasa ini dengan harapan mengutip mata penuh, bagi mengelak dipintas Tottenham yang menyambut kedatangan Newcastle. United pula menyambut Leicester di Old Trafford awal pagi esok. - Selamat menonton.
Ramalan minggu ini:
Liverpool 2-0 Watford
Brighton 2-1 Norwich
Burnley 0-3 Man City
Chelsea 2-1 Brentford
Leeds 1-2 Southampton
Wolves 1-1 Aston Villa
Man Utd 2-1 Leicester
West Ham 2-1 Everton
Tottenham 2-1 Newcastle
C Palace 1-1 Arsenal