Rabu, 30 March 2022 | 8:08am
Bintang Senegal Sadio Mane (tengah) mengawal bola ketika aksi playoff Piala Dunia 2022 menentang Mesir di Stadium Me Abdoulaye Wade, Diamniadio. - Foto AFP
Bintang Senegal Sadio Mane (tengah) mengawal bola ketika aksi playoff Piala Dunia 2022 menentang Mesir di Stadium Me Abdoulaye Wade, Diamniadio. - Foto AFP

Senegal bangkit halang Mesir ke Qatar

DIAMNIADIO, Senegal: Bintang Liverpool Sadio Mane menyempurnakan sepakan penalti untuk membawa juara Afrika Senegal ke Piala Dunia 2022 di Qatar dengan menyingkirkan Mesir yang diterajui Mohamed Salah.

Cameroon, Ghana, Maghribi dan Tunisia turut menempah tempat ke pusingan akhir.

Senegal memenangi aksi timbal balik playoff Afrika 1-0 di Diamniadio hasil jaringan minit keempat Boulaye Da dan kedua-dua pasukan terikat 1-1 secara agregat selepas masa tambahan.

Seperti final Piala Negara-Negara Afrika bulan lalu, Mane diberi kepercayaan untuk mengambil sepakan penalti kelima Senegal dan dia menyempurnakannya untuk kemenangan 3-1 dalam penentuan itu.

Salah antara tiga pemain Mesir yang gagal menyempurnakan sepakan penalti. Dua lagi ialah Zizo dan Mostafa Mohamed.

"Penting untuk bermula dengan baik, sesuatu yang kami tidak lakukan di Kaherah. Pasukan ini lebih lengkap (berbanding skuad 2018). Kami sepatutnya layak lebih awal berdasarkan peluang-peluang yang gagal disempurnakan," kata pengendali Senegal Aliou Cisse.

Sementara itu pemain tengah Arsenal Thomas Partey menjaringkan gol yang membawa Ghana ke Piala Dunia dengan keputusan seri 1-1 di Nigeria dan mara berdasarkan gol di tempat lawan.

Partey memecah kebuntuan pada minit ke-10 di Abuja dan walaupun seorang lagi bintang Liga Perdana Inggeris, William Troost-Ekong, menyamakan kedudukan menerusi penalti minit ke-22, gol di tempat lawan membawa Ghana ke pusingan akhir selepas aksi pertama berakhir tanpa jaringan.

Karl Toko Ekambi menjaringkan gol di minit keempat masa tambahan untuk memberikan Cameroon kemenangan 2-1 ke atas Algeria di Blida dan mara menerusi kelebihan gol di tempat lawan.

Eric Maxim Choupo-Moting meletakkan Cameroon di depan pada minit ke-22 dan mengekalkan kelebihan sehingga minit ke-118 apabila Ahmed Touba menyamakan kedudukan pada aksi timbal balik itu.

Ketika Algeria mendahului 2-1 secara agregat selepas kemenangan 1-0 Jumaat lalu, dan begitu hampir untuk layak ke Qatar, Toko Ekambi menjaringkan gol untuk Cameroon.

Azzedine Ounahi meledak dua kali ketika Maghribi menewaskan Republik Demokratik Congo 4-1 di Casablanca dan mara ke pusingan akhir buat kali keenam.

Tunisia memastikan tiket ke Qatar walaupun terikat 0-0 di laman sendiri menentang Mali pada aksi timbal balik. Pada aksi pertama di Bamako Jumaat lalu, mereka menang 1-0 hasil jaringan sendiri Moussa Sissako. - AFP

Berita Harian X